Pemandu Toyota Vios positif ganja - Utusan Malaysia

Pemandu Toyota Vios positif ganja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN – Pemandu Toyota Vios yang terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) yang terjunam ke dalam laut di kilometer 4.0 Jambatan Pulau Pinang arah Perai dekat sini awal pagi semalam didapati positif dadah jenis ganja.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid (gambar kecil) berkata, keputusan itu diperolehi hasil ujian air kencing selain pihaknya menunggu hasil ujian darah bagi menentukan kandungan alkohol.

Menurutnya, berdasarkan maklumat awal, pemandu Toyota Vios dan SUV itu dikatakan sebagai rakan dan mereka sedang dalam perjalanan pulang ke rumah di Seberang Perai dari sebuah pusat hiburan di Lebuh Chulia di sini.

“Mereka pada mulanya berhibur bersama lima lagi rakan yang lain dan ketika kejadian dalam perjalanan pulang ke rumah masing-masing.

“Lima lagi rakan mereka tinggal di bahagian pulau dan polis juga sudah mengambil keterangan mereka bagi membantu siasatan,” katanya kepada pemberita sebentar tadi.

Menurut Nik Ros Azhan, polis akan mengambil keterangan pemandu Toyota Vios berkenaan apabila dia selesai mendapatkan rawatan.

Sementara itu, setakat ini usaha mencari dan menyelamat (SAR) sedang dijalankan di kawasan perairan sekitar lokasi kejadian.

Koordinator SAR, Laksamana Maritim Rozali Mohd. Said berkata, lokasi kawasan pencarian yang berlumpur menyebabkan pasukan penyelam sukar menentukan lokasi sebenar kenderaan SUV tersebut selain arus deras.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.45 pagi semalam sebuah SUV berwarna putih dilaporkan terjunam ke dalam laut selepas terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta jenis Toyota Vios di kilometer 4.0 Jambatan Pulau Pinang arah Perai dekat sini.

Seorang pelajar lelaki kolej swasta berusia 20 tahun, Moey Yun Peng, dipercayai merupakan pemandu SUV berkenaan selepas bapanya membuat laporan polis berhubung kehilang pelajar itu petang semalam. 

SUV tersebut disyaki jenis Mazda CX5 – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN