NILAI – Pemandu lori yang terlibat dalam insiden langgar lari seorang anggota polis Cawangan Balai Pengawal Istana Negeri Sembilan di Jalan Besar berhampiran Taman Rose Merah dekat sini telah menyerah diri kepada pihak polis.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd. Nor Marzukee Besar berkata, lelaki berusia 61 tahun itu menyerah diri di Balai Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai pada pukul 9 malam tadi.
Kata beliau, suspek bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan polis selepas memberi keterangan dan lori yang dipandunya disita untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Dia dibawa menjalani ujian air kencing, tetapi keputusannya negatif dadah. Dia turut dibawa ke Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) Seremban bagi melakukan ujian toksikologi darah,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.
Kosmo! semalam melaporkan seorang anggota polis Cawangan Balai Pengawal Istana Negeri Sembilan maut dalam kejadian langgar lari di sebuah persimpangan di Jalan Besar berhampiran Taman Rose Merah.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12.10 tengahari itu, mangsa, Muhamad Shafiq Ramlan, 26, yang menunggang motosikal jenis Honda Dash dipercayai dilanggar sebuah lori sewaktu tiba di sebuah persimpangan di lokasi kejadian.
Mangsa yang masih bujang dan memakai uniform polis dalam perjalanan ke Kuala Pilah untuk bertugas di Balai Pengawal di Istana Seri Menanti semasa kemalangan itu berlaku. – K! ONLINE










