PARIS 13 Jan. – Pengendali Paris Saint-Germain (PSG), Thomas Tuchel berkata dia akan ‘tidur lena’ apabila kelabnya menandatangani pemain baharu ketika jendela perpindahan bulan ini.
PSG telah dikaitkan dengan bintang Napoli, Allan manakala Adrien Rabiot dijangka meninggalkan juara Ligue 1 itu.
Mengulas mengenai perancangan PSG selepas meraih kemenangan 3-0 ke atas Amiens, Tuchel berkata pengarah sukan kelab gergasi Perancis itu, Antero Henrique dan presiden mahu pemain baharu dalam pasukan.
“Henrique dan presiden berkata saya perlu mendapatkan pemain baru dan saya mempercayai mereka. Dalam masa sama, saya bimbang jika tidak berjaya mendapatkan mana-mana pemain.
“Saya menyedari jendela perpindahan musim sejuk ini sangat merumitkan. Jika terdapat pemain baru menyertai pasukan, ia akan membantu saya untuk tidur lena,” katanya.
PSG bangkit daripada penyingkiran saingan Coupe de la Ligue dengan menewaskan Amiens tanpa menurunkan bintangnya, Neymar.
Neymar yang kini dikaitkan bakal kembali bersama juara LaLiga, Barcelona direhatkan tetapi PSG kekal cemerlang dengan kehadiran Edinson Cavani dan Kylian Mbappe selepas tewas kepada Guingamp.
“Kemenangan ini diperlukan selepas tewas kepada Guingamp. Kami telah memperbaiki kesilapan dan berjaya meraih keputusan yang diinginkan,” ujarnya.
Sementara itu, Mbappe meledak gol ke-70 dalam kariernya pada usia 20 tahun dan turut mencetak nama sebagai penjaring pada minit ke-70 ketika membantu PSG melakar kemenangan ke atas Amiens. -AGENSI










