KUALA LUMPUR – Seorang murid darjah lima maut selepas motosikal yang ditunggangi dirempuh sebuah teksi di Jalan Maarof, Bangsar, di sini hari ini
Dalam kejadian kira-kira pukul 7 pagi itu, mangsa, Athierah Batricesya Azizi, 11, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan selepas mengalami kecederaan parah pada kepala dan anggota badan.
Sementara abangnya, Amzar Hazieq Azizi, 18, hanya mengalami kecederaan ringan pada bahagian kaki kirinya dan difahamkan, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk tindakan lanjut.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, kejadian dipercayai berlaku ketika abangnya dalam perjalanan menghantar mangsa ke sekolahnya di sekitar Bukit Bandaraya.
“Siasatan awal mendapati, kemalangan berlaku selepas sebuah teksi jenis Proton Persona yang dipandu seorang lelaki berusia 59 tahun telah memasuki simpang Jalan Tanduk sebelum merempuh motosikal jenis Yamaha FZ yang dinaik kedua-dua mangsa.
“Rempuhan tersebut menyebabkan kedua-dua mangsa telah terjatuh dan mengakibatkan Athierah Batriceysa maut selepas mengalami kecederaan parah pada kepala dan anggota badan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. – K! ONLINE










