SEREMBAN – Kegagalan Peguam Negara, Tommy Thomas memberi nasihat perundangan yang tepat berhubung penubuhan tribunal khas bagi menyiasat sama ada wujud salah laku oleh enam bekas pesuruhjaya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam mengendalikan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dianggap sebagai satu perkara yang memalukan.
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, atas nasihat Peguam Negara maka tribunal itu ditubuhkan oleh kerajaan Malaysia dan jika didapati bersalah mereka seramai enam orang terbabit boleh dilucutkan jawatan.
“Malangnya, Peguam Negara terlepas pandang atau gagal memberi nasihat perundangan yang terkini dan tepat kepada Perdana Menteri dan Yang di-Pertuan Agong selepas keenam-enam pesuruhjaya yang dinamakan meletak jawatan.
“Beliau tidak segera mengambil pertanggungjawaban memaklumkan perubahan konteks dan fakta bahawa mereka yang hendak disiasat itu telah pun meletak jawatan sekali gus menyebabkan tribunal tersebut sudah tidak diperlukan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Mohamad yang menjalankan tugas-tugas Presiden UMNO seterusnya mengingatkan bahawa tugas Peguam Negara bukan sahaja memberi nasihat berkaitan undang-undang, tetapi memastikan nasihat yang diberikan itu terus sesuai, tepat dan praktikal dengan konteks semasa.
Kata beliau, jika berlaku sebarang perubahan fakta, menjadi tanggungjawab Peguam Negara untuk memaklumkan perkara tersebut kepada negara, kepada Yang di-Pertuan Agong dan kepada pihak berkaitan.
Tegas beliau, kegagalan Peguam Negara itu telah menyebabkan tribunal yang ditubuhkan tersebut sekadar bersifat akademik, sia-sia dan tidak memberikan apa-apa kesan yang produktif, malah menyebabkan berlaku pembaziran masa dan sumber negara.
Tambah beliau, kegagalan Peguam Negara itu turut mencemarkan nama baik institusi Peguam Negara, Istana Negara dan kerajaan secara keseluruhannya.
“Kerajaan bukan sahaja dilihat mengambil tindakan yang sia-sia, tetapi sangat tidak peka dengan fakta apabila tetap meneruskan prosiding tribunal tersebut sekalipun selepas enam pesuruhjaya SPR terlibat meletak jawatan.
“UMNO mengutuk dan dengan ini menggesa sekeras-kerasnya Peguam Negara untuk mengambil pertanggungjawaban penuh berhubung kegagalan besar beliau dalam perkara yang sangat memalukan ini,” katanya. – K! ONLINE










