Pegawai tertinggi negara terlibat joget didesak minta maaf, lepaskan jawatan  - Utusan Malaysia

Pegawai tertinggi negara terlibat joget didesak minta maaf, lepaskan jawatan 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CAMERON HIGHLANDS – Semua individu terutama pegawai tertinggi negara yang terlibat menari di dalam satu majlis makan malam yang tular melalui media sosial sejak kelmarin didesak agar meminta maaf kepada rakyat Malaysia. 

Naib Presiden UMNO yang turut menjalankan tugas-tugas Timbalan Presiden parti, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, permohonan maaf kepada rakyat perlu dibuat memandangkan ia merupakan satu perkara yang amat tidak wajar dilakukan mereka.

Katanya, kesemua individu yang berkepentingan ini diharap tidak mengulangi perbuatan tersebut sekali gus melepaskan jawatan masing-masing secara sukarela untuk membersihkan kembali persepsi buruk yang telah terpalit terhadap badan-badan yang diwakili mereka.

“Ketua Hakim Negara, Tan Sri Richard Malanjum; Peguam Negara, Tommy Thomas dan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong ini merupakan orang yang mempunyai kepentingan pada waktu-waktu tertentu.

“Perbuatan berjoget bersama walaupun ia hak individu masing-masing, namun perkara itu telah membawa persepsi yang buruk terhadap badan-badan diwakili mereka terutamanya institusi kehakiman itu sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika mengadakan lawatan dan ramah mesra di Pasar Pagi dan Pasar Tani Brinchang di sini hari ini.

Tambah Ismail Sabri, kerajaan Barisan Nasional (BN) tumbang disebabkan persepsi negatif yang dilontarkan pihak-pihak tertentu.

“Jadi, kita tidak mahu persepsi buruk ini terus menghantui masyarakat sekali gus menjatuhkan martabat eksklusif badan kehakiman negara,” jelasnya.

Mengulas mengenai dakwaan pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang mengatakan kerajaan BN sebelum ini tidak prihatin terhadap masyarakat Orang Asli, Ismail Sabri berkata, setiap tahun BN tidak pernah lupa untuk menyediakan peruntukan buat golongan tersebut.

Malah katanya, kerajaan PH sekarang inilah yang menzalimi masyarakat Orang Asli selepas membatalkan beberapa projek yang telah diluluskan oleh BN.

“Kita lihat projek pembangunan pembinaan jalan ke Pos Lenjang bernilai RM15 juta dan projek pusat sehenti di Gua Musang bernilai RM148 juta untuk masyarakat Orang Asli ini dibatalkan kerajaan PH.

“Siapa sebenarnya yang tidak prihatin terhadap masyarakat Orang Asli ini?” soalnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN