KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan pemantauan rapi dengan pihak berkuasa Indonesia berhubung pembebasan ulama, Abu Bakar Bashir yang dikaitkan dengan pengeboman di Bali pada tahun 2002.
Presiden Indonesia, Joko Widodo dalam kenyataannya pada dua minggu lalu mengumumkan bahawa Abu Bakar, 81, akan dibebaskan lebih awal atas alasan kemanusiaan, berdasarkan faktor usia dan kesihatannya.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, pihaknya turut memantau kerana tidak mahu dia terlibat dalam sebarang aktiviti merekrut dan menghidupkan kembali kegiatan lampaunya di dalam Jemaah Islamiyah (JI) dan Islamic State (IS).
“Terdapat beberapa elemen yang kita percaya berkaitan dengan pihak kita (gerakan pengganas) di negara ini jadi ia perlu dipantau.
“Melalui Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas Bukit Aman, kita telah berhubung dengan pihak berkuasa Indonesia untuk pemantauan bagi memastikan pembebasan Abu Bakar ini tidak menimbulkan masalah keselamatan baharu terutamanya dalam usaha JI atau elemen radikal yang lain,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Serah Terima Tugas Pegawai Kanan PDRM di Pulapol di sini hari ini.
Mohamad Fuzi menambah, pemantauan tersebut dilakukan agar kegiatan lampaunya tidak akan berulang.
“Sebelum ini, kita percaya dia ada beberapa kumpulan serpihan hasil daripada penglibatannya dengan JI.
“Perkara ini bukanlah menjadi isu kerana kita mempunyai kerjasama yang baik dengan pihak berkuasa Indonesia,” ujarnya.
Terdahulu majlis tersebut menyaksikan Serah Terima Tugas Jawatan Pengarah Pengurusan dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Pemakaian Pangkat Pegawai Kanan PDRM dan Majlis Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara.
Dalam majlis itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor dilantik sebagai Pengarah JSJK baharu manakala Ketua Polis Kedah, Datuk Abdul Rahim Jaafar sebagai Pengarah Pengurusan. – K! ONLINE










