KANGAR 30 Jan. – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mencadangkan agar Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959 dan Akta Pencegahan Keganasan 2015 (POTA) tidak dimansuhkan meskipun ia sebahagian daripada janji Pakatan Harapan sebelum ini.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, sebaik-sebaiknya undang-undang ini ditambah baik di bahagian-bahagian tertentu yang dirasakan perlu dan bukannya memansuhkan secara keseluruhan.
Katanya, undang-undang ini masih diperlukan khususnya untuk mengekang isu-isu berkaitan gengsterisme; sindiket berkumpulan
dan perkara sensitif lain yang memerlukan undang-undang tersebut diguna pakai.
“Kalau tidak ada (undang-undang ini) kita akan menghadapi masalah untuk melaksanakan tindakan pencegahan dan membendung kegiatan yang boleh mengancam keselamatan rakyat.
“Itu pandangan kita (PDRM) supaya undang-undang ini dikekalkan dan kalau boleh ditambah baik. Jangan mansuh keseluruhannya. Kita juga ada bagi cadangan bahagian-bahagian tertentu yang boleh ditambah baik,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Istiadat Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara 2018 Kontijen Perlis di Mes Pegawai Kanan Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri di sini, hari ini.
Yang turut hadir Ketua Polis negeri, Datuk Noor Mushar Mohd.
Baru-baru ini, Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan bahawa kajian pemansuhan POCA dan penambahbaikan POTA sedang dimuktamadkan sebelum dibentang pada sesi Parlimen akan datang.
Kata Muhyiddin, di peringkat Kabinet, pihak kerajaan memegang janji di dalam manisfesto Pakatan Harapan bahawa POCA dimansuhkan dan POTA ditambah baik bagi memberi keadilan lebih telus.
Sementara itu, Mohamad Fuzi berkata, seramai 250 orang pegawai dikurniakan Pingat Jasa Pahlawan Negara dalam majlis hari ini.
Katanya, penganugerahan itu adalah bagi menghargai jasa para anggota khususnya mereka yang akan bersara tidak lama lagi.
“Dalam tempoh terdekat, kita akan sampaikan lagi anugerah ini yang diadakan secara berperingkat-peringkat di setiap negeri,” katanya. – UTUSAN ONLINE










