KULIM – Tindakan seorang lelaki berusia 24 tahun mencuri barang kemas milik ibu saudaranya membawa padah apabila dia ditahan polis di Taman Serai Wangi, Padang Serai di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ahmad Nasir Jaafar berkata, suspek disyaki mencuri sejumlah barang kemas antaranya cincin, loket dan gelang kaki emas dianggarkan bernilai kira-kira RM2,000 yang disimpan di dalam almari di bilik ibu saudaranya berusia 43 tahun kira-kira pukul 8.15 malam Jumaat lalu.
“Wanita itu hanya menyedari barang kemas miliknya hilang dua hari kemudian sebelum anak perempuannya berusia 17 tahun memaklumkan suspek ada masuk ke dalam rumah dan meminta duit.
“Suspek juga bertanya sama ada terdapat orang di dalam rumah sebelum remaja perempuan terbabit menjawab tiada orang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kata beliau, suspek berjaya ditahan kira-kira pukul 12.30 tengah hari semalam di hadapan rumah tersebut.
“Kita berjaya merampas dua bentuk cincin dan satu bentuk loket yang disembunyikan di bawah tempat duduk motosikal dan berdasarkan pengakuan awal, suspek tidak mengaku terlibat dalam kejadian itu,” ujarnya.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri.- K! ONLINE










