BANGKOK 4 Jan. – RIBUT tropika pertama di Thailand sejak tiga dekad, mengorbankan seorang mangsa, ketika siklon itu sampai ke pantai selatan negara ini, hari ini mengakibatkan pokok tumbang dan menerbangkan bumbung rumah ketika kelajuan angin semakin lemah.
Siklon Tropika Pabuk tiba ke darat di daerah Pak Phanang, wilayah Nakhon Si Thammarat bersama angin kuat yang menyebabkan ombak tinggi di Teluk Siam selain banyak pokok tumbang menghempap rumah dan kerosakan meluas dilaporkan.
Seorang pegawai pencegahan bencana Thailand berkata, mangsa yang terbunuh itu merupakan seorang krew sebuah bot nelayan yang karam di perairan dekat wilayah Pattani ketika empat orang terselamat manakala seorang lagi masih hilang.
Sementara itu Jabatan Meteorologi Thailand memberitahu, Siklon Tropika Pabuk membawa hujang lebat dan angin kencang di 15 wilayah di selatan negara ini.
Katanya, setakat petang ini, ribut tropika itu semakin perlahan dan menghala wilayah Surat Thani.
“Pabuk dijangka diturunkan taraf kepada tekanan tropika. Orang ramai patut berjaga-jaga dengan aliran air dari hutan dan banjir kilat,” katanya.
Keadaan itu dijangka berterusan sehingga esok ketika lapangan terbang dan perkhidmatan feri ditutup dan orang ramai dinasihatkan berada di dalam rumah sehingga ribut reda.
Beberapa syarikat penerbangan termasuk Nok Airlines, Lion Air, Bangkok Airways, Thai Smile, anak syarikat penerbangan nasional Thai Airways turut membatalkan penerbangan mereka ke destinasi yang terjejas dengan bencana itu.
Sementara itu, Pusat Amaran Bencana Kebangsaan turut mengaktifkan penggera di kawasan persisiran pantai di Koh Samui dan Koh Phangan yang menjadi destinasi tumpuan pelancong.
Setakat ini kira-kira 6,176 penduduk di Nakhon Si Thammarat, wilayah Pattani, Songkhla dan Yala dipindahkan ke kawasan yang lebih selamat. – REUTERS










