P. Pinang tamatkan wifi percuma - Utusan Malaysia

P. Pinang tamatkan wifi percuma

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN 19 Jan. – Perkhidmatan wifi percuma di negeri ini atau Penang Free WiFi (PFW) akan dihentikan bermula 13 Februari ini berikutan kelajuan internetnya yang kurang memuaskan.

Pengerusi Jawatankuasa Ker­ja Raya, Utiliti dan Tebatan Banjir negeri, Zairil Khir Johari berkata, kerajaan negeri kini dalam usaha untuk menambah baik perkhidmatan sedia ada memandangkan kelajuannya tidak setimpal dengan kualiti perkhidmatan dan jumlah penggunaannya.

“Pada kelajuan sedia ada, PFW kini berkelajuan 512 kbps bagi setiap AP (access point) manakala kelajuan keseluruhannya pula 375 mbps.

“Jadi, untuk kelajuan PFW akan datang kita akan tingkatkan kepada 1.5 gbps dengan minimum 1,560 AP yang bermaksud 2 mbps setiap AP de­ngan kemampuan menampung 50 orang pengguna pada setiap masa,” katanya pada sidang media selepas merasmikan pembukaan HMC Clinic di Solaris Square, di sini hari ini.

Beliau berkata, perkhidmatan PFW sedia ada hanya mampu menampung 30 pengguna bagi satu-satu masa dan jumlah maksimum penggunaannya ialah 46,800 orang.

“Dari tahun 2009 ia dilancarkan sehingga kini, terdapat lebih 670,000 jumlah login,” katanya.

Zairil berkata, kerajaan ne­geri memutuskan perkhidmatan PFW diteruskan secara co-branding melalui penawaran secara permohonan cadangan (RFP) yang dijangka dimulakan pada suku pertama tahun ini.

Beliau berkata, tujuan penawaran melalui RFP itu untuk menggalakkan idea kreatif dan inovatif daripada syarikat yang telibat dalam pembangunan jaringan infrastruktur telekomunikasi selain meningkatkan pengalaman pengguna.

“Ia juga seiring dengan hasrat Kerajaan Negeri dalam menuju Bandar Pintar Bertaraf Antarabangsa dan Visi Penang 2030: A family-focused Green and Smart State to Inspire the Nation,” katanya yang turut mengumumkan Syarikat PDC Telecommunication and Services Sdn Bhd sebagai agensi pelaksana RFP.

Menurut beliau, perkhidmatan PFW yang baharu akan diumumkan pada Julai ini. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN