Obor-obor serang Australia - Utusan Malaysia

Obor-obor serang Australia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SYDNEY – Lebih 3,000 orang disengat obor-obor amat berbisa di pantai timur Australia dalam tempoh beberapa hari sahaja, kata pihak berkuasa semalam dalam insiden yang memaksa beberapa buah pantai popular ditutup.

Kebanjiran obor-obor topi Portugis itu di negeri Queensland, dianggap sebagai ‘serangan’ oleh media tempatan, apatah lagi, sengat haiwan itu sungguh me­nyakitkan.

Persatuan pengawal pantai, Surf Life Saving berkata, seramai 3,595 orang mengalami kesakitan seperti melecur selepas disengat spesies obor-obor tersebut yang juga dikenali sebagai ‘botol biru’ kerana warna kebiruannya.

Sekurang-kurangnya empat pantai utama masih ditutup, manakala orga­nisasi tersebut memberi amaran bahawa lebih ba­nyak obor-obor dijangka membanjiri lokasi tersebut.

“Tembok botol biru menghampiri Pantai Rainbow. Anggota-anggota penyelamat menutup pantai tersebut. Orang ramai diminta tidak bermain air laut,” demikian menurut amaran yang dikeluarkan oleh Surf Life Sa­ving

Obor-obor topi Portugis kerap menyengat mangsanya, manakala jeritan akibat kesakitan biasa didengar di pantai timur Australia ketika musim panas.

Bagaimanapun, bilangan mang­sa yang begitu ramai sejak beberapa hari lalu mengejutkan pihak berkuasa.

“Kesakitan pada kulit boleh berlarutan selama beberapa minit hingga beberapa jam. Sengatan juga boleh mengakibatkan mangsa mual dan mengalami muntah-muntah,” kata persatuan doktor tempatan, Royal Australian College of General Practitioners.

Kaedah merawat sengatan obor-obor topi Portugis terma­suk membasuh luka dengan air suam atau menggunakan pek ais. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN