Neon Countdown dicemari arak dianjur pihak swasta - Utusan Malaysia

Neon Countdown dicemari arak dianjur pihak swasta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN 1 Jan. – Penganjuran sambutan tahun baharu, Neon Countdown 2019 yang dicemari minuman keras dan pergaulan bebas di Lukut, Port Dickson malam tadi sukar dipantau kerana dianjurkan pihak swasta.

Pengerusi Jawatankuasa Modal Insan, Belia dan Sukan negeri, Mohamad Taufek Abd. Ghani berkata, perkara seumpama itu tidak akan berlaku sekiranya ia dikendalikan oleh kerajaan negeri atau pihak majlis perbandaran daerah.

“Perkara itu telah lama berlaku, malah setiap kali ada sambutan Hari Kemerdekaan atau tahun baharu akan ada anak muda yang berhimpun dan lakukan aktiviti tidak baik.

“Kerajaan negeri dari semasa ke semasa akan cuba mengatasi masalah tersebut sebab itu pada tahun ini kita tidak mengadakan sambutan tahun baharu kerana ada perkara kurang baik akan berlaku.

“Kita tidak sedia untuk menganjurkan sambutan besar-besaran. Banyak sambutan dianjurkan pihak swasta. Kalau bawah kerajaan negeri atau majlis perbandaran perkara itu akan dapat dipantau,” katanya selepas kempen ‘Lepak Sedap Tanpa Asap’ di Senawang, di sini hari ini.

Program Neon Countdown 2019 dihadiri kira-kira 10,000 orang semalam mendapat bantahan penduduk dan pertubuhan bukan kerajaan di Port Dickson kerana didakwa boleh menyebabkan masalah moral.

Semalam polis menahan lima individu yang menghadiri sambutan tersebut kerana didapati memiliki dan positif dadah.

Netizen sebelum ini turut mengecam penganjuran program yang dimeriahkan dengan konsert kerana dikatakan turut menyediakan minuman keras kepada pengunjung. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN