Nafiizwan sasar 20 terbaik dunia - Utusan Malaysia

Nafiizwan sasar 20 terbaik dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 26 Jan. – Kejohanan Skuasy Individu Asia dan kedudukan ranking 20 teratas dunia menjadi tumpuan utama buat pemain skuasy lelaki nombor satu negara, Mohd Nafiizwan Adnan pada tahun ini.

Pemain berusia 32 tahun itu yang muncul juara ketika kali terakhir Malaysia menganjurkan Kejohanan Asia pada 2011 di Pulau Pinang, tidak menolak kemungkinan untuk mengulangi pencapaian itu apabila kejohanan tersebut kembali dianjurkan di Pusat Skuasy Nasional, di sini bermula 1 hingga 5 Mei ini.

“Saya dah mulakan persediaan untuk kejohanan itu sejak akhir tahun lepas kerana ia menjadi tumpuan utama untuk 2019. Saya tidak memikirkan sangat mengenai gelaran juara, tetapi mahu buat yang terbaik.

“Dari segi ranking, sukar nak dapatkan ranking lebih tinggi pada masa ini, tetapi sekurang-kurangnya saya ingin berada di kedudukan 20 terbaik sebelum hujung tahun ini,” kata pemain yang kini menduduki ranking ke-36 dunia selepas dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Lelaki 2018 pada majlis Anugerah Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM), semalam.

Mohd Nafiizwan mengharungi musim yang paling cemerlang dalam kariernya apabila meraih pingat gangsa bersejarah Malaysia pada Sukan Komanwel Gold Coast (perseorangan lelaki) dan pingat emas acara berpasukan lelaki serta gangsa perseorangan lelaki Sukan Asia Jakarta-Palembang.

Atlet kelahiran Kuala Terengganu itu, turut meraih gelaran Terbuka Manitoba, selain muncul naib juara Terbuka Montreal pada tahun lepas.

“Saya rasa kejayaan tahun lepas tidak memberikan kelebihan untuk 2019. Saya harus bekerja lebih keras dan teruskan peningkatan dalam prestasi. Ia bukan kerana saya mahu mengejar pemain lain, tetapi untuk menjadi contoh yang terbaik kepada pemain pelapis dan muda.

“Saya masih ada tenaga (walaupun sudah berumur 32 tahun) untuk terus menunjukkan prestasi terbaik, tetapi kadang-kadang memerlukan nasib untuk mendapatkan rentak terbaik pada masa yang tepat di kejohanan yang tepat,” katanya.

Nafiizwan akan memulakan musim 2019 dengan saingan Terbuka Pittsburgh di Amerika Syarikat bermula 6 hingga 10 Februari ini, diikuti Kejohanan Dunia di Chicago (23 Februari hingga 2 Mac) dan Piala Kanada di Toronto (3 hingga 7 Mac).

Sementara itu, Mohd Nafiizwan mengakui ketiadaan ketua jurulatih skuasy negara, Peter Genever amat dirasainya, tetapi dia cukup matang untuk menghadapi situasi itu dan boleh menghubungi Genever jika perlu. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×