NACP: Toleransi sifar rasuah - Lee Lam Thye - Utusan Malaysia

NACP: Toleransi sifar rasuah – Lee Lam Thye

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 30 Jan. – Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023 perlu disokong dan dipromosikan supaya sampai ke pengetahuan seluruh rakyat Malaysia.

Namun, Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye berkata, kejayaan pelan tersebut bergantung kepada kelancaran pelaksanaannya yang menuntut keazaman politik dan komitmen seluruh rakyat Malaysia.

“NACP mengandungi matlamat yang tinggi untuk menjadikan Malaysia bebas rasuah pada tahun 2023. Kerajaan harus menunjukkan kepimpinan melalui teladan dan tidak boleh bertoleransi terhadap semua bentuk rasuah.

“Pelaksanaan pelan lima tahun tersebut perlu dipantau dengan berkesan di setiap peringkat. Penguatkuasaan perlu dibuat tanpa rasa takut atau mempunyai kepentingan bagi memastikan kejayaan pelan tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

NACP dilancarkan oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam satu majlis di Putrajaya, semalam.

Tambah Lam Thye lagi, media perlu memainkan peranan mempromosikan NACP seiring dengan usaha kerajaan mengadakan kempen kesedaran dalam kalangan jabatan dan agensi kerajaan, sektor swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan segenap lapisan masyarakat.

“Perjuangan menentang rasuah juga mesti melibatkan semua pihak dan setiap orang mempunyai peranan masing-masing. Untuk membentuk budaya antirasuah, kita perlu mendidik golongan muda mengenai bahaya rasuah dari peringkat tadika hingga ke universiti.

“Kita perlu mengamalkan toleransi sifar terhadap rasuah dan pegangan ini mesti dipromosikan di seluruh negara menggunakan segala sumber yang ada,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN