KUALA LUMPUR 25 Jan. – Kerajaan masih belum terlambat untuk mengadakan perbincangan dengan pihak-pihak berkepentingan supaya Skim Perlindungan Nasional B40 (mySalam) yang dilancarkan semalam dapat diperbaiki pelaksanaannya.
Ahli Jawatankuasa Pusat, Parti Sosialis Malaysia, Dr. Michael Jeyakumar Devaraj berkata, pihaknya telah mengemukakan memorandum mengenai skim itu di kompleks Kementerian Kewangan, Putrajaya semalam ekoran kurangnya rundingan dengan pihak berkepentingan yang berkaitan.
“Kementerian Kewangan tidak mengadakan pertemuan dengan pihak Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan kesihatan yang telah membangkitkan kebimbangan mengenai skim ini.
“Ini adalah memorandum ketiga yang kami serahkan, tidak ada jawapan terhadap dua memorandum yang terdahulu. Bagaimanapun, saya berpendapat masih belum terlambat untuk berbincang dengan pihak berkepentingan supaya skim ini dapat diperbaiki, kami harap akan ada perbincangan,” katanya seperti dilaporkan portal Free Malaysia Today, semalam.
Semalam, Perdana Menteri, Tun. Dr. Mahathir Mohamad melancarkan mySalam yang menawarkan perlindungan insurans dan takaful kesihatan percuma yang menurut beliau skim itu menyediakan perlindungan takaful kepada golongan B40 yang menerima Bantuan Sara Hidup (BSH) dan memberi manfaat kepada 3.69 juta rakyat berumur 18 hingga 55 tahun.
Menurut Dr. Mahathir lagi, skim itu juga bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan pemahaman dalam kalangan B40 mengenai perlindungan insurans dan takaful selain ia melibatkan sumbangan permulaan besar sebanyak RM2 bilion daripada syarikat insurans dan takaful Great Eastern Life.
Sementara itu, tambah Dr. Michael Jeyakumar lagi, pelaksanaan mySalam dibimbangi akan menjejaskan sistem penjagaan kesihatan awam kerana pesakit dan pakar yang berkhidmat di hospital-hospital kerajaan akan pergi ke hospital swasta.
“Ketika ini, hanya 10 peratus doktor pakar yang mempunyai lebih daripada 10 tahun pengalaman berada di hospital kerajaan manakala yang lain sudah berada dalam sistem penjagaan kesihatan swasta,” katanya. – UTUSAN ONLINE










