KUALA LUMPUR 24 Jan. – Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) sedang melaksanakan kajian semula kedudukan dominan dan monopoli terhadap beberapa perusahaan di negara ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC), Iskandar Ismail berkata, kajian tersebut dilakukan di bawah Jawatankuasa Kajian Semula Dasar Monopoli Perkhidmatan dan Pembekalan.
Tambah beliau, antara kajian semula yang dilakukan di bawah jawatankuasa tersebut adalah perkhidmatan yang dibekalkan oleh My EG Services Bhd. (MyEG).
“MyCC akan terus mengambil tindakan tegas terhadap penyalahgunaan kedudukan dominan atau monopoli oleh sebarang perusahaan di dalam pasaran.
“Kami akan terus memastikan pasaran negara bebas daripada sebarang aktiviti monopoli yang memudaratkan atau yang tidak menyumbang kepada ekonomi negara,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Jelas Iskandar, mana-mana perusahaan yang melakukan aktiviti monopoli akan dikenakan tindakan mengikut Akta Persaingan 2010.
Kata beliau, MyEG antara yang telah didakwa di bawah peruntukan undang-undang tersebut di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 22 Januari lalu.
Jelas kenyataan itu, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Azizah Nawawi telah menolak rayuan MyEG dan mengesahkan syarikat penyedia perkhidmatan e-kerajaan itu menyalahgunakan kedudukan dominan.
Syarikat terbabit dikenakan denda sebanyak RM9.337 juta kerana mengenakan syarat-syarat berbeza bagi transaksi yang sama berkaitan pembelian insurans wajib untuk pembaharuan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS). – UTUSAN ONLINE.










