Mungkinkah Anak Krakatau mengganas lagi? - Utusan Malaysia

Mungkinkah Anak Krakatau mengganas lagi?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kemarin dunia terlihat sangat indah

Melewati hitam putih hidup ini
Bersamamu, bersamamu…

Kini sendiri di sini
Mencarimu tak tahu di mana
Semoga tenang kau di sana
Selamanya”…

Mungkin ada yang beranggapan ia satu kebetulan namun, kisah sedih menimpa kumpulan Seventeen dan penyanyi utamanya, Riefian Fajarsyah atau Ifan yang turut kehilangan isterinya, Dylan Sahara dalam bencana tsunami Selat Sunda baru-baru ini seperti memutarkan semula ingatan orang ramai dengan lagu Kemarin nyanyian kumpulan muzik terkenal Indonesia itu.

Lagu tersebut yang dicipta oleh gitaris Seventeen, Herman Sikumbang dua tahun lalu kini menjadi popular selepas tragedi tsunami yang mengorbankan lebih 437 nyawa termasuk Herman dan dua lagi anggota kumpulan itu kecuali Ifan.

Setelah lebih seminggu tunami Selat Sunda berlalu, berita mengenai aktiviti Gunung Berapi Anak Krakatau terus mencetuskan keresahan dalam kalangan penduduk tempatan kerana terdapat kemungkinan berlakunya letusan susulan yang boleh menyebabkan tsunami.

Lebih membimbangkan apabila Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofisika Indonesia (BMKG) menemukan kesan retakan baharu di Anak Krakatau setelah gunung berapi itu mengalami penyusutan sebanyak 110 meter dari aras laut berbanding ketinggian asal 338 meter.

Sungguh pun begitu, petanda awal gunung berapi tersebut yang terletak antara Pulau Jawa dan Sumatera bakal mencetuskan bencana lebih besar dapat diramal sejak 2017.

Menurut pensyarah Fakulti Ilmu dan Teknologi Institut Teknologi Bandung (ITB), Dr. Mirzam Abdurrachman, biar pun gunung berapi itu mencetuskan lebih 400 kali letusan kecil sejak beberapa tahun lalu, petanda terkini bukan satu kebiasaan bagi Anak Krakatau.

Jelasnya, sebelum terjadinya gelombang tsunami malam itu, satu letupan besar berlaku pada pukul 6 petang sehingga kedengaran ke Pulau Sebesi yang jaraknya lebih 10 kilometer (km) dari Anak Krakatau.

“Gunung berapi yang terletak di lautan seperti Anak Krakatau berpotensi besar untuk menghasilkan tsunami gunung berapi. Tsunami tersebut boleh terbentuk akibat perubahan jumlah air laut yang berlaku secara tiba-tiba akibat letusan gunung berapi,” katanya dalam laman web ITB.

LETUSAN GUNUNG KRAKATAU

Sebelum bencana pada 22 Disember lalu, satu ledakan yang sangat kuat pernah berlaku pada 26 Ogos 1883. Bunyi letusan itu boleh didengari penduduk Alice Springs di Australia dan Pulau Rodrigues di Afrika yang terletak lebih 4,600 kilometer. Malah, gegarannya dilaporkan dirasai di seluruh dunia.

Ledakan yang disusuli tsunami setinggi 36 meter itu sangat mengerikan sehingga mengorbankan lebih 36,000 orang dan menyebabkan perubahan iklim global. Disebabkan debu gunung berapi yang menyelubungi atmosfera, dunia bergelap selama dua setengah hari dan cahaya matahari menjadi redup selama setahun.

Dari segi kekuatan, letupan tersebut adalah 13,000 kali ganda lebih kuat berbanding letupan bom atom yang digugurkan di Hiroshima, Jepun semasa Perang Dunia Kedua. Kesan letusan yang besar itu juga menyebabkan munculnya gunung berapi baharu iaitu Anak Krakatau pada 1927 iaitu sisa kepada Gunung Berapi Krakatau.

KITAB RAJA PURWA DAN GUNUNG KRAKATAU PURBA

Paling menimbulkan banyak persoalan, sebelum berlakunya letusan dahsyat 136 tahun lalu itu, terdapat catatan sejarah yang menyebut gunung berapi itu pernah meletus sebelum itu.

Berdasarkan kitab Raja Purwa yang ditulis oleh Raden Ngabahi Ranggawarsita pada 1869 iaitu ketika zaman Kesultanan Surakarta, beliau menyebut bahawa pada tahun Saka 338 (kalendar kuno Jawa) atau 416 masihi kedengaran bunyi suara guruh dengan disertai hujan dan angin kuat tetapi air hujan yang turun tidak mematikan ledakan api dari Gunung Kapi. Salinan kitab tersebut yang kini tersimpan di Perpustakaan Nasional Jakarta, Indonesia diterbitkan 14 tahun sebelum Gunung Krakatau meletus.

Pada mulanya, banyak yang tertanya-tanya di manakah terletaknya Gunung Kapi namun, selepas berlakunya letusan Gunung Krakatau pada 1883 banyak pihak mula berpendapat kedua-dua gunung berapi itu berada di lokasi yang sama.

Naskhah bersejarah itu ditemui secara tidak sengaja oleh bekas pengkaji di Badan Pengkajian dan Penerapan Teknologi (BPPT) Indonesia, Gegar Prasetya ketika melakukan kajian di perpustakaan Universiti Leiden, Belanda bagi melengkapkan program ijazah dan doktor falsafahnya (Phd).

SYAIR LAMPUNG KARAM CATAT LETUSAN GUNUNG KRAKATAU

Selain kitab itu terdapat sebuah lagi karya yang menceritakan mengenai letusan Gunung Krakatau. Lebih istimewa, karya berbentuk syair bertajuk Syair Lampung Karam itu satu-satunya yang ditulis sendiri oleh saksi ketika waktu kejadian.

Syair karangan Muhammad Saleh itu ditulis dalam bahasa Melayu dialek Riau dan dicetak dengan huruf Jawi di Singapura pada 1884 dengan judul Syair Negeri Lampung yang Dinaiki oleh Air dan Hujan Abu.

Dalam syair itu, penulis berkenaan menceritakan detik- detik kemusnahan kampung dan kematian orang ramai akibat letusan tersebut yang telah menyebabkan berlakunya tsunami serta hujan batu dan abu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN