ALOR SETAR 2 Jan. – Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Mukhriz Mahathir secara terbuka mempertahankan kenyataan Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) dan ketuanya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berhubung isu mendapatkan kontrak kerajaan.
Mukhriz berkata, beliau menyokong penuh kenyataan sayap Bersatu itu yang menggariskan kepentingan mempertahankan integriti dalam pentadbiran parti.
Beliau berkata, tidak sepatutnya parti itu melanggar harapan yang diberikan sewaktu awal-awal Bersatu ditubuhkan sehingga bertanding dalam pilihan raya umum dan berjaya membentuk kerajaan.
“Saya rasa tidak tepat dan sesuai bagi mana-mana kepemimpinan parti mencadangkan agar kita menggunakan kedudukan dalam kerajaan untuk tujuan memberi kontrak dan sebagainya kepada ketua-ketua bahagian kerana itu bukan tanggungjawab kita,” katanya selepas menyampaikan watikah pelantikan pelatih program Future Leader 2020, di sini hari ini.
Beliau yang juga Menteri Besar berkata demikian bagi mengulas mesej tular yang kononnya beberapa ketua bahagian Bersatu mahu memulakan gerakan menolak Syed Saddiq sebagai ketua Armada ekoran penentangannya terhadap cadangan terbabit.
Ketika ditanya mengenai desakan agar Naib Presiden Bersatu, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman yang mengutarakan isu kontrak kerajaan berundur, Mukhriz berkata, cadangan berkenaan tidak boleh dijadikan pendirian parti.
“Isu itu tak perlu dipolemikkan, cuma saya nak katakan cadangan itu bukan pendirian parti tetapi ia dibuat oleh salah seorang Naib Presiden dalam sesi penggulungan dan tak
boleh anggap dasar parti kerana yang penting pendirian parti dalam integriti perlu diutamakan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berpesan agar ahli perlu sentiasa menjaga reputasi parti dengan menolak budaya yang boleh melemahkan mereka sehingga memberi impak negatif terhadap keyakinan rakyat kepada parti. – UTUSAN ONLINE










