PUTRAJAYA – Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengesahkan beliau sendiri yang mengemukakan rayuan agar Datuk Seri Alwi Ibrahim dikekalkan sebagai Ketua Setiausaha kementerian tersebut.
Menurut Muhyiddin, beliau mengakui dapat berkerjasama dengan Alwi sejak menerajui Kementerian Dalam Negeri (KDN) selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) tahun lalu.
“Ya, itu adalah rayuan saya. Saya lihat tiada masalah dengan beliau.
“Saya baru di kementerian ini, jadi memerlukan orang sudah lama untuk bantu di KDN. Saya ucapkan terima kasih kepada pihak yang memberi kelulusan,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Amanat Tahun Baharu 2019 Kementerian Dalam Negeri di sini hari ini.
Sebelum ini, Alwi dilaporkan dilantik sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya yang baharu susulan rombakan besar-besaran jawatan tinggi kerajaan awal bulan ini.
Jawatan beliau sepatutnya digantikan oleh Datuk Dr. Mohd. Ghazali Abas yang merupakan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan.
Mengulas lanjut mengenai perlantikan saat-saat akhir Ketua Pengarah Jabatan Imigresen yang baharu, Datuk Khairul Dzaimee Daud Muhyiddin menjelaskan,kebiasaanya jika terdapat kekosongan jawatan agensi, menteri akan diminta untuk mengemukakan cadangan nama.
Jelasnya, beliau sendiri telah mengemukakan nama dan dipersetujui oleh semua pihak di KDN.
Kosmo! Online semalam melaporkan, Khairul Dzaimee sebelum ini bertugas sebagai Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Kawalan), KDN dilantik sebagai Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia yang baharu berkuat kuasa hari ini.
Sebelum ini, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Dalam Negeri, Datuk Jamil Rakon telah dilaporkan dilantik sebagai Ketua Pengarah Jabatan Imigresen.
Bagaimanpun, Jamil terus kekal sebagai Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) KDN. – K! ONLINE










