'Mobile Kasino' laman judi baharu atas talian - Utusan Malaysia

‘Mobile Kasino’ laman judi baharu atas talian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM – Sindiket perjudian atas talian di Selangor kini mengubah modus operandi (MO) dengan menjadikan laman sesawang ‘mobile kasino’ bagi mempromosikan kegiatan tersebut. 

Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor berkata, trend terbaharu dikesan melalui lapan serbuan di pusat operasi perjudian di Ampang Jaya dan Serdang.

Katanya, alat peranti seperti telefon pintar, tablet dan komputer riba digunakan kaki judi supaya boleh bermain judi di mana-mana sahaja tanpa batasan waktu. 

“MO ini dilihat cuba mengalih pandangan kita daripada sudut fizikal dengan wang kemenangan akan terus dimasukkan ke dalam akaun pemain. 

“Berdasarkan serbuan itu, kita telah merampas 48 buah komputer, komputer riba (13) dan telefon pintar (257),” katanya pada sidang akhbar selepas majlis Amanat Khas Ketua Polis Selangor di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, di sini, hari ini. 

Menurut beliau, secara keseluruhan sebanyak 29 serbuan dijalankan pihaknya bermula awal Januari lalu sehingga kelmarin ke atas perjudian atas talian iaitu melibatkan 105 loteri haram dan 17 lain-lain judi melibatkan tangkapan seramai 286 orang. 

Mazlan menegaskan daripada tangkapan itu seramai 93 daripadanya adalah ahli sindiket dengan 36 daripadanya diambil tindakan di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA).

“Bagi tahun lalu sahaja, sebanyak 3,445 serbuan Ops Dadu Khas yang membawa kepada 5,965 orang diberkas oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kontinjen Selangor.

“Kita juga telah mengambil tindakan di bawah POCA terhadap 387 individu iaitu pecahannya adalah jenayah kekerasan (199), harta benda (160) serta masing-masing tiga orang bagi pelacuran, penyeludupan migran dan perjudian,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×