LUSAKA – Sebuah firma Zambia kelmarin menangguhkan pengeluaran sejenis minuman tenaga selepas seorang pelanggan di Uganda mengadu mengalami ereksi berpanjangan dengan beberapa ujian menunjukkan produk itu mengandungi bahan aktif Viagra.
Minuman tenaga SX Energy Natural Power keluaran syarikat Revin Zambia dieksport ke seluruh rantau ini termasuk ke Uganda di mana pembeli turut mengadu berdepan masalah kuat berpeluh.
Pengurus Besar Revin Zambia, Vikas Kapoor menyatakan syarikatnya sudah berhenti mengeluarkan minuman itu sejak Selasa lalu sementara siasatan dalaman dijalankan.
“Kami membenarkan kerajaan atau mana-mana agensi kerajaan menjalankan siasatan mereka sendiri tetapi setakat yang kami tahu, minuman itu tidak mengandungi sebarang jenis ubat,” katanya kepada agensi berita AFP.
Persatuan Farmaseutikal Zambia (PSZ) memaklumkan ujian yang dikongsi Pihak Berkuasa Dadah Kebangsaan Uganda menunjukkan kehadiran sildenafil citrate iaitu ubat untuk merawat mati pucuk dan dijual bawah jenama Viagra.
PSZ menyatakan label minuman itu mendakwa ia ‘mengandungi ekstrak semula jadi halia dan tongkat ali, sejenis afrodisiak terkenal dan penggalak hormon testosteron sebagai bahan utama.’
“Kami menerima makluman daripada Pihak Berkuasa Dadah Kebangsaan Uganda bahawa minuman tenaga itu tercemar dan pasukan kami sedang membuat rampasan,” kata jurucakap Biro Standard Uganda, Godwin Muhwezi kepada agensi berita AFP. – AFP










