Minta rasuah: Pegawai universiti awam direman 7 hari - Utusan Malaysia

Minta rasuah: Pegawai universiti awam direman 7 hari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM 23 Jan. – Penolong Pengarah sebuah universiti awam di negeri ini yang ditahan malam semalam kerana dipercayai terlibat meminta rasuah bagi kerja-kerja pembekalan dan pencetakan empat tahun lalu direman tujuh hari bermula hari ini.

Perintah tahanan reman sehingga 29 Januari ke atas suspek yang berusia 42 tahun itu dikeluarkan Majistret Shazali Hidayat Shariff di Mahkamah Majistret Shah Alam di sini. 

Turut direman bagi tempoh sama adalah pembantu tadbir kanan di universiti sama yang berusia 47 tahun, yang dipercayai rakan subahat suspek utama itu.

Terdahulu, kedua-dua suspek tiba di mahkamah diiringi pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kira-kira pukul 10.50 pagi dengan memakai baju tahanan lokap serta tangan bergari.

Semalam, kedua-dua individu terbabit ditahan ketika mereka hadir ke Pejabat SPRM Selangor pada pukul 10.45 malam untuk memberi keterangan.

Menurut sumber, siasatan awal mendapati kedua-dua suspek telah bersubahat menerima suapan bernilai lebih RM30,000 daripada sebuah syarikat periklanan sebagai balasan memilih dan mengesyor syarikat berkenaan bagi kerja-kerja pembekalan dan percetakan di universiti tersebut.-UTUSAN ONLINE 
 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×