KUALA LUMPUR – Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mengesahkan telah mengambil tindakan awal dalam usaha untuk menyelesaikan tunggakan gaji 18 pemain Perlis seperti yang dilaporkan media tempatan hari ini.
Masalah tunggakan gaji tersebut sudah termasuk dalam perjanjian bersama Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) dan MFL yang dipersetujui pada 28 Disember lalu apabila skuad Singa Utara diberikan tempoh 60 hari untuk menyelesaikan bayaran tertunggak.
Ahli Lembaga Pengarah MFL, Mustaza Ahmad memberitahu PFA telah diberikan masa untuk menyelesaikan tunggakan gaji pemain dan pihaknya sudah mengumumkan akan menyekat pemberian geran tahunan sebagai cagaran bagi melangsaikan hutang berkenaan.
“Tuntutan pemain Perlis sudah ada dalam perjanjian bersama dan ini bukan tuntutan baharu. PFA sudah memberikan jaminan untuk menyelesaikan masalah itu sebelum sepak mula Liga Malaysia (Liga M) 2019.
“PFA masih memiliki tempoh masa dan jika mereka gagal berbuat demikian, MFL akan menggunakan geran tahunan mereka bagi menyelesaikan masalah tunggakan gaji pemain,” katanya hari ini.
Turut terus dibangkitkan adalah status Perlis yang dinaikkan pangkat dari Piala FAM ke Liga Premier musim ini biarpun pasukan kendalian Manzoor Azwira Abd Wahid itu dilanda masalah hutang.
Mustaza menjelaskan kelulusan itu diambil berdasarkan komitmen dan perancangan pengurusan baharu PFA untuk menyelesaikan tunggakan gaji dan memantapkan kewangan pasukan pada musim ini.
“Persatuan Bola Sepak Malaysia mencadangkan tiga pasukan iaitu Kuching FA, ATM dan Perlis dari Piala FAM untuk mengisi slot Liga Premier berdasarkan dokumen perancangan pasukan berkenaan termasuk aspek kewangan.
“Daripada tiga pasukan ini, Ahli Lembaga Pengarah MFL kemudian memilih Perlis kerana memiliki penyokong lebih ramai dan jumlah hutang mereka lebih sedikit,” katanya. – K! ONLINE










