MFL bijak cari solusi - Utusan Malaysia

MFL bijak cari solusi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 26 Jan. – Langkah Liga Bolasepak Malaysia (MFL) memperkenalkan sistem kuota ke atas setiap perbelanjaan pasukan bagi mengatasi bebanan hutang yang ditanggung disambut baik oleh pasukan Liga Malaysia (Liga M).

Antara pasukan yang bersetuju adalah juara Piala Malaysia sebanyak 33 kali, Selangor yang percaya menerusi meka­nisme yang diambil dari La Liga itu akan mampu membendung masalah tunggakan gaji serta ketirisan dalam pengurusan kewangan sesebuah pasukan.

“Ini yang terbaik sebenarnya (kuota perbelanjaan). Ia satu permulaan yang baik untuk tidak ada lagi tunggakan hutang atau ketirisan dari segi penajaan atau sebagainya.

“Sebab impak buruk akhir­nya akan dirasai oleh pemain. Pemain ini adalah pemain profesional dan ini adalah rezeki mereka dengan bermain bola.

“Jadi apabila disebabkan oleh hutang-hutang dan ketirisan ini mereka yang merana. Bila ada kawalan ketat berkaitan kewa­ngan setiap pasukan, ia secara langsung akan menambah baik dan tidak akan ada lagi masalah berkaitan hutang,” kata pengurus Selangor, Datuk Abdul Rauf Ahmad ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Jersi Red Giants, di sini, hari ini.

Sementara itu, Setiausaha Agung Felda United, Zulkarnain Muhamad menyifatkan pendekatan MFL untuk menggunakan cara La Liga bagi mengatasi bebanan hutang kebanyakan pasukan di Liga M adalah tepat pada masanya.

Mengambil contoh situasi Felda United yang menerima tempias sebaik berlaku perubahan pengurusan, Zulkarnain berkata, langkah tersebut membolehkan mereka lebih berhemah dalam pengurusan wang.

Beliau berharap pihak MFL sedia mengadakan langkah susulan seperti penerangan kepada semua rakan kongsi liga termasuk mengenai formula terbaik merealisasikan hasrat berkenaan.

“Memang terbaik. Itu yang saya boleh katakan apabila mengetahui perkara ini daripada MFL, kerana ia boleh memastikan semua kepimpinan pasukan ada perancangan jangka panjang yang jelas dan tetap,” katanya.

Semalam, Ahli Lembaga Pengarah MFL, Datuk Wira Yusoff Mahadi, mengumumkan bahawa badan pentadbir Liga M itu mahu melaksanakan sistem kawalan ekonomi seperti La Liga. Langkah itu mampu menyelesaikan kemelut gaji kerana semua pasukan tidak boleh lagi berbelanja sewenang-wenang­nya.

Dalam La Liga, sejak di­laksana­kan mulai 2012, mereka berjaya melupuskan hutang pa­sukan bertanding daripada €90 juta (RM422.87 juta) pada 2012 kepada sifar pada tahun 2017.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN