Menjunjung tiang seri Negara - Utusan Malaysia

Menjunjung tiang seri Negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TARIKH 25 Januari lalu menyaksikan Mesyuarat ke 251 (Khas) Majlis Raja-raja Melayu bersetuju melantik Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al Musta’in Billah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Esok, 31 Januari, Majlis Raja-Raja Melayu juga akan mengadakan mesyuarat khas bagi Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan Yang di-Pertuan Agong XVI dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong. Sumpah menjawat jawatan Yang di-Pertuan Agong adalah seperti termaktub di dalam Perkara 37(1), Jadual Keempat Perlembagaan Persekutuan.

Majlis bersejarah ini menjadi suatu lagi bukti zahir betapa sistem Raja Berperlembagaan yang diamalkan tanah air ini melalui sistem penggiliran semenjak kemerdekaan merupakan penerusan tradisi yang dipersetujui bersama Raja-raja Melayu ketika mengisytiharkan pembentukan negara ini.

Jika jejak sejarah negara ditelusuri semenjak sekian lama, Raja-raja Melayu telah bertakhta masing-masing sebagai ketua bagi negeri-negeri di Tanah Melayu yang bebas merdeka semenjak sekian lama, sebelum semua ketua negeri bersetuju membentuk sebuah persekutuan dengan termeterainya Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu pada 21 Januari 1948 yang merupakan persediaan ke arah penubuhan Persekutuan Tanah Melayu pada 1 Februari 1948.

INSAF

Generasi muda pada hari ini perlu insaf dan menghayati dengan mendalam sistem Raja Berpelembagaan yang sangat unik dan berjaya dilangsungkan semenjak sekian lama tanpa melalui krisis besar yang membocorkan payung pemerintahan tertinggi negara.

Benarlah seperti dikatakan pakar perlembagaan yang juga pensyarah undang-undang di Universiti Islam Antarabangsa, Prof. Madya Dr. Shamrahayu Abdul Aziz: “Sifat muafakat Majlis Raja-Raja dalam membuat keputusan mengenai perkara yang besar sebegini perlu kita contohi.”

Pada hakikatnya, peristiwa bersejarah ini wajib menimbulkan kesedaran buat semua rakyat Malaysia tentang kekayaan nilai permuafakatan yang berada di lipatan sejarah negara ini semenjak sekian lama.

Raja, negeri dan rakyat tidak dapat dipisahkan. Dalam karya sastera Melayu klasik, sering disebut, raja membuka negeri. Dalam Sulalat al-Salatin atau Sejarah Melayu sebagai contoh, Tun Seri Lanang banyak mencatatkan dan menghuraikan hal yang berkaitan dengan negeri dan rajanya serta pembukaan negeri baharu.

Menurut kajian, “orang Melayu nampaknya menganggap diri mereka tidak hidup dalam negeri-negeri tetapi hidup di bawah setiap individu raja yang berkuasa.”

Dalam konsep “kerajaan,” ruang dan sempadan tidak diutamakan. Rakyat ialah kumpulan terbesar dalam sesebuah negara.

Setiap rakyat dikehendaki patuh kepada raja. Orang Melayu mengenali jati diri mereka sebagai rakyat atau hamba seseorang raja. Keakraban hubungan antara rakyat dengan seseorang raja, bahkan sehingga kini, kita masih dapat mendengar melalui ungkapan, “raja dan rakyat berpisah tiada.”

SASARAN

Bahkan, kedaulatan dalam Negeri-Negeri Melayu ialah rakyat dan bukannya wilayah. Konsep atau prinsip ini digunakan oleh pasukan peguam Singapura ketika berhujah di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dalam pertikaian berhubung dengan Pulau Batu Puteh bahawa dalam Kesultanan Melayu (termasuk Kesultanan Johor), kedaulatan berasaskan kawalan pada orang dan bukannya pada wilayah.

Antara unsur atau institusi tradisi yang dikekalkan dalam Perlembagaan Malaysia, ialah pemerintahan beraja atau institusi beraja.

Meskipun negara Malaysia mengamalkan demokrasi, unsur atau institusi tradisi ini dikekalkan berdasarkan latar belakang sejarah bahawa berabad-abad lamanya, orang Melayu diperintah oleh sistem beraja, iaitu wibawa patrimonial terpencar (decentralised).

Bagaimanapun, kewujudan institusi beraja dalam sesebuah demokrasi seperti di Malaysia bukanlah suatu yang aneh kerana sistem seperti ini diamalkan beberapa negara, bahkan negara maju, antaranya Jepun, Britain dan Belgium.

Ini sekali gus membuktikan bahawa institusi beraja bukan amalan lapuk, usang sama sekali. Malah, kekuatan tradisi dan identiti negara bangsa sesebuah negara dipertahankan melalui kelangsungan institusi diraja yang melalui ujian masa dan pelbagai cabaran zaman.

PERANAN RAJA, INSTITUSI

Bagaimanapun, sejak akhir-akhir ini, wujud gejala yang secara terang-terangan tidak menghormati institusi raja yang wujud sejak turun-temurun dan selalunya melibatkan generasi muda.

Dengan perkembangan media sosial, institusi diraja sering dijadi sasaran golongan tidak bertanggungjawab untuk menyerang tradisi sesebuah negara, kononnya atas nama pembaharuan dan pemodenan budaya.

Gejala seperti ini bukan sahaja menunjukkan sikap tidak bertanggungjawab, bahkan menimbulkan kerisauan bagaimana watak dan sikap bakal pemimpin masa depan dalam kalangan generasi muda. Dalam erti kata, mereka bukan sahaja mewarisi sebuah negara, tetapi mewarisi sejarah, budaya, dan institusi yang merupakan unsur penting bagi negara bangsa Malaysia.

Malah, kegusaran ini pernah dizahirkan Al-Sultan Abdullah sendiri lebih dua tahun yang lalu. Ketika masih lagi merupakan Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah bertitah semasa Majlis Konvokesyen UniKL ke 14 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) bahawa terdapat dalam kalangan mereka yang memandang remeh peranan yang dimainkan institusi beraja.

Malah lebih menyedihkan ada yang tidak menghargai peranan institusi itu dan merasakan ia tidak lagi relevan dalam era globalisasi.

Selain itu titah baginda, tidak kurang juga wujudnya golongan mengutamakan kepentingan peribadi apabila memanipulasi platform media sosial dalam menyebarkan berita palsu dan tohmahan terhadap institusi diraja.

Ini menghilangkan rasa hormat masyarakat terhadap institusi tersebut. Titah Baginda, “Sesungguhnya, seiring pepatah raja dan rakyat berpisah tiada, bukan sedikit amanah yang digalas, tidak berhujung pengorbanan yang dituntut, seluruh kudrat haruslah kuat.”

Baginda juga mewasiatkan pesan diraja yang sangat penting untuk dihayati generasi muda, apabila bertitah “Yakinlah bahawa institusi diraja di negara kita ini mempunyai nilai dan kepentingannya yang tersendiri, bukan hanya lambang adat dan kesinambungan sejarah.

Apa yang lebih utama ialah mengekalkan identiti bangsa negara, memayungi semua rakyat sentiasa agar kegemilangan dan kedaulatan negara kekal terpelihara,”.Ternyata institusi diraja bukan sekadar lambang adat dan kesinambungan sejarah.

Sebagai tiang seri negara, kepentingan institusi diraja ini merupakan teras yang memasak kukuh identiti Malaysia sebagai sebuah bangsa negara yang memayungi semua rakyat tidak kira dari latar belakang kaum, agama dan budaya mana sekalipun.

Ibarat kata pepatah, kuat berdiri pohon kerana akarnya, kuat akar kerana tanahnya.

Dengan pelantikan Al-Sultan Abdullah sebagai Yang Di-Pertuan Agong ke-16, rakyat Malaysia perlu terus menitipkan doa dan harapan agar institusi diraja kekal berperanan sebagai institusi ulung memberikan naungan keadilan dan kemakmuran secara adil dan saksama. Dan sebagai pasak yang memastikan Perlembagaan Persekutuan dapat dizahirkan semangat dan aspirasinya dalam memelihara kegemilangan dan kedaulatan negara.

Duli di-Pertuan payung persada

Daulat tuanku mahkota negeri

Raja dan rakyat berpisah tiada

Kukuh berpadu bak tiang seri.

DATUK MOHD. NIZAR SUDIN ialah penganalisis politik merangkap Pensyarah Kanan Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN