“SAYA harap pengundi-pengundi buat keputusan bijak. Bagi pihak kami Barisan Nasional (BN) telahpun menyerahkan saudara Ramli Mohd. Nor, calon yang (menurut semakan kami adalah) paling diminati, disukai oleh pengundi-pengundi di dalam Parlimen Cameron Highlands.
“Dan beliau mempunyai kelulusan yang agak tinggi, banyak pengalaman, selain pernah memegang jawatan tinggi sebagai pesara pegawai kanan polis.
“Dan saya percaya beliau mampu mewakili masyarakat dalam kawasan Parlimen ini,” kata Pengarah Pilihan Raya BN Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Ini dinyatakan Menteri Besar Pahang itu kepada wartawan yang menemuinya pada majlis pengumuman calon BN bagi PRK oleh Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan pada 10 Januari lalu.
Wan Rosdy yang mula mengambil alih tampuk kepimpinan Pahang kira-kira lapan bulan lepas sejak 15 Mei 2018 juga adalah Pengerusi BN Pahang dan Ketua UMNO Bahagian Cameron Highlands.
Setelah dua minggu tempoh berkempen sejak Hari Penamaan Calon 12 Januari dan esok, 26 Januari hari mengundi, kata-kata pemimpin ini yang berkongsi sama tarikh lahir (pada 1 Oktober 1958) dengan Ramli dilihat ada kebenarannya.
“Sungguhpun saudara Ramli ialah Orang Asli beragama Islam yang sudah tentunya akan memenangi hati 34 peratus pengundi Melayu dan 22 peratus pengundi Orang Asli, beliau juga pandai membawa diri dengan pengundi Cina (29 peratus) dan India (15 peratus).
“Malah, beliau dilihat fasih berbahasa Mandarin dalam klip video mengucapkan Selamat Tahun Baharu Cina, terbitan MCA. Maka, atas dasar itu atau personaliti calon BN ini sahaja, sudahpun ada ‘umph’,” kata seorang penganalisis politik yang ditemui penulis di Tanah Rata baru-baru ini.
Bertuahnya BN pada PRK ini ialah Pas menjadi rakan sekutunya yang boleh dikatakan tulen jika dilihat daripada segi komitmen tinggi pemimpin-pemimpin mereka mengadakan ceramah politik bersama dengan pemimpin-pemimpin BN.
Dan Pas tidak meletakkan calonnya bertanding kali ini, dengan itu dijangkakan lebih 3,000 undi yang calon Pas peroleh dengan penyertaan parti itu pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14, 9 Mei lalu, mungkin beralih mengundi calon BN pula.
Yang menyebelahi BN juga pada PRK ini ialah segala kecelaruan dan tindak tanduk para pemimpin Kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang dilihat tidak disenangi rakyat.
Antaranya yang utama ialah ekoran kos kehidupan yang terus meninggi, peneroka di Rancangan Tanah Felda pula terkesan lebih teruk akibat harga kelapa sawit merudum serta janji-janji ‘manis’ PRU Ke-14 menerusi manifesto PH.
Sebab itulah Mohamad atau mesra dengan panggilan Tok Mat dalam ucapannya pada satu ceramah di Sungai Koyan bersama-sama pemimpin Pas termasuk Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, telah lantang berkata: “Ini merupakan ‘referendum’ terjemahan ketidakpuasan hati rakyat Malaysia terhadap Kerajaan PH”.
Sungguhpun semua petunjuk menjurus kepada kemenangan BN namun ada kebimbangan dengan ‘penerobosan demi penerobosan’ oleh pemimpin-pemimpin utama PH ke kawasan-kawasan ‘putih’ BN dalam tempoh berkempen.
‘Penerobosan’ ini berlaku seperti di ketiga-tiga Rancangan Tanah Felda Sungai Koyan 1, 2 dan 3 serta ke perkampungan-perkampungan Orang Asli yang dikhuatiri mempengaruhi penduduk/pengundi di sana.
Apatah lagi dengan serangan dilancarkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dalam siri ceramah politiknya di kawasan-kawasan terbabit yang mempertikaikan ‘kononnya kewangan kerajaan negeri BN tenat’.
Misalnya, kerajaan negeri Pahang pimpinan BN katanya, mempunyai defisit bajet negeri terkumpul sebanyak RM228.37 juta bagi tempoh empat tahun (2014–2017), yang dengan itu tidak memungkinkan kerajaan negeri ini mentadbir dengan baik.
Sedangkan, dia tidak beritahu betapa defisit bajet Pulau Pinang pimpinan DAP untuk tahun 2019 ini sahaja kira-kira RM352.8 juta manakala defisit tahun 2018 ketika mana Guan Eng sebagai Ketua Menteri adalah kira-kira RM748.5 juta.
Dan berapakah pula defisit bajet Kerajaan Persekutuan PH untuk 2019 ini, yang menteri bertanggungjawab mengenainya ialah Guan Eng? RM52,700 juta atau RM52.7 bilion?
Moga-moga dengan ini pengundi Cameron Highlands cerdik membuat pilihan. Insya-Allah.










