Berkonsepkan chic Korean, kafe Rarakitchy yang berlatarkan warna-warna pastel dan gabungan pokok hiasan berwarna hijau memberi suasana tenang khusus kepada penggemar pastri dan kek untuk bersantai bersama-sama rakan sambil menghirup minuman panas atau sejuk.
Sesuai dengan konsep tersebut, pemiliknya, Nadhrah Azmuddin, 32, turut mengetengahkan hiasan bunga Korea berwarna pastel pada kek yang bukan sahaja indah dilihat tetapi enak dimakan.
Hampir kesemua hiasan kek dan kek cawan di Rarakitchy menggunakan krim mentega swiss meringue kerana rasanya yang kurang manis dan tidak muak.
Selain kek yang lembap, pendekatan Rarakitchy mempelbagaikan hiasan pada kek selain memperkenalkan perasa baharu setiap bulan antaranya sirap bandung, limau ros dan teh tarik serta rose pistachio turut menjadi tarikan pelanggan untuk menikmati pencuci mulut itu di kafe tersebut.
Menurut Nadhrah, Rarakitchy amat mementingkan kualiti kek yang dijual justeru kesemua kek yang dihasilkan merupakan kek premium iaitu kek mentega menggunakan mentega dan estrak vanila asli.
Terletak di Seksyen 3 Tambahan Bandar Baru Bangi, kafe yang boleh memuatkan seramai 28 pelanggan pada satu-satu masa itu turut menghidangkan pencuci mulut lain seperti pai manis, bronwnies, kek `meringue’ dan macaroon serta coklat balang.
Menurut wanita lulusan Diploma Hotel dan Katering, Politeknik Kota Kinabalu, Sabah itu, dia memulakan perniagaan kek secara kecil-kecilan di rumah dan dalam talian namun berikutan sambutan yang menggalakkan Nadhrah membuka sebuah kedai kek di Seksyen 3 Bangi Perdana sebelum berpindah ke lokasi sekarang.
Ruang sekarang yang lebih luas memberi idea kepada Nadhrah untuk menyediakan ruang makan santai kepada pelanggan terutama selepas waktu kerja sambil menunggu tempahan kek masing-masing.
Selain Nadhrah sebagai baker atau pembuat kek utama, Rarakitchy turut mempunyai dua bakers lain serta dua lagi kakitangan khusus menghias kek.
Antara hiasan kek tempahan yang paling banyak diterima di Rarakitchy ialah bunga Korea dan bunga hidup yang dijual pada harga RM150 sehinggga RM240 sekilogram manakala kek hiasan sama yang telah sedia siap, dijual pada harga RM79 sehingga RM135 seberat 500 gram.
Kek cawan hiasan bunga Korea pula dijual pada RM130 untuk 12 biji dan RM160 untuk 16 biji.
Selain itu, Rarakitchy turut menyediakan kelas masakan kek untuk berkumpulan pada setiap Ahad atau secara persendirian pada Isnin sehingga Rabu dengan kadar yang dikenakan bermula RM290 sehingga RM650, mengikut pilihan kelas yang diminati.
Peserta kelas boleh memilih untuk mengikuti kelas membuat kek dan kek cawan atau kek perkahwinan dengan hiasan bunga Korea atau bunga segar selain unicorn dan fairy tale.
Rarakitchy dibuka pada setiap Sabtu bermula pukul 2 petang sehingga 7 malam dan Ahad sehingga Rabu pada pukul 9 pagi sehingga 7 malam serta Khamis sehingga Jumaat pada pukul 9 pagi sehingga 9 malam.











