Membina legasi Sarrahdhyya - Utusan Malaysia

Membina legasi Sarrahdhyya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Tutur katanya penuh yakin sekali gus menggambarkan perwatakannya yang bersemangat tinggi dan berpadanan dengan empunya diri yang bergelar usahawan muda, Nurun Nadiyatu Izzati Ahmad Afifi.

Nadiya panggilan mesra untuk gadis ini mungkin baru berkecimpung dalam dunia perniagaan namun dia bukanlah `bidan terjun’ kerana sejak kecil telah diasuh oleh ibunya, Norlela Musa berniaga secara kecil-kecilan sehinggalah kini terbina syarikat SD Legacy Sdn. Bhd.

SD Legacy memfokuskan perniagaan aksesori berjenama Sarrahdhyya khusus dari Korea Selatan namun bukan sebarangan aksesori sebaliknya, Nadiya yang juga Ketua Pegawai Operasi (COO) `terbang’ hampir setiap bulan ke Seoul untuk mendapatkan aksesori eksklusif yang direka sendiri untuk pelanggannya.

Korea juga bukanlah negara asing buat gadis ini kerana hampir 20 tahun dia berulang alik ke negara itu mengikut ibunya yang juga bekas kakitangan sebuah syarikat penerbangan malah Seoul ibarat `rumah keduanya’ maka bukanlah sesuatu yang janggal jika dia berseorangan ke negara itu.

Dalam tempoh ‘ulang alik’ itulah tercetus idea lulusan jurusan Kejuruteraan Mekanikal, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ini untuk mengusahakan perniagaan aksesori Korea sementelah dia sendiri meminati barangan perhiasan diri.

“Aksesori Korea mempunyai kualiti tinggi selain mendapat permintaan luas di negara ini, justeru saya mengambil keputusan mengimport aksesori wanita seperti kerongsang, rantai leher dan loket, gelang tangan dan kaki, anting-anting dan pin tudung yang bertatahkan batu Swarovski, zikornia kubik dan kristal serta jed Korea,’’ kata anak kedua daripada tiga beradik ini.

Sebelum memulakan perniagaan itu, Nadiya terlebih dahulu melakukan penyelidikan tentang perbezaan produk dari Korea dan China dan hasilnya dia mendapati batu dari Korea mempunyai kilauan yang lebih cantik selain tahan lama.

Setiap dua bulan, anak jati Selangor ini akan ke Korea untuk mengambil stok aksesori daripada kira-kira 50 pembekal di Seoul, Korea malah dia akan membeli secara pukal, kira-kira 1,000 unit aksesori namun jika tempahan yang dibuat tidak dapat dipenuhi, peniaga di negara itu akan mengirimkannya secara pos ke Malaysia.

Seringkali ke Korea seorang diri untuk mendapatkan stok, Nadiya tidak kekok dengan persekitaran di negara asing itu kerana yakin dengan persekitaran yang selamat dan lazim dia akan berada di Seoul selama seminggu untuk mendapatkan bekalan aksesori berkenaan.

Sudah pasti kekerapan ke Korea memerlukannya memahami bahasa Korea justeru dia mengambil inisiatif mempelajari bahasa itu secara persendirian malah melalui YouTube dan kini boleh menguasai bahasa tersebut untuk urusan jual beli.

“Ketika mula berurusan dengan peniaga Korea timbul masalah bahasa kerana mereka tidak faham malah tidak mahu menggunakan bahasa Inggeris jadilah kami seperti itik dan ayam selain menggunakan bahasa isyarat ketika berjual beli,’’ katanya.

Bekas pelajar Sekolah Menengah Agama (SMKA) Maahad Hamidiah, Kajang ini sebenarnya bercita-cita menjadi seorang doktor namun bertukar fikiran untuk meneruskan karier sebagai seorang jurutera tetapi secara tiba-tiba melihat peluang terbentang di depan mata sebagai usahawan.

Peluang yang ada itu pantas disambar sebaik sahaja menamatkan pengajian pada 2015 dengan terjun dalam bidang perniagaan sepenuh masa dan tahun berikutnya melalui modal yang dikumpulkan sejak mula terlibat dalam perniagaan secara kecil-kecilan, dia membuka butik Sarradhyya.

Nekad membuka butik pertama di pusat perniagaan Bangi Sentral kerana mempunyai keyakinan dengan persekitaran majoriti penduduk Melayu yang juga antara golongan pelbagai lapisan umur yang meminati aksesori dari Korea.

Walaupun begitu pada awal pembukaan butik berkenaan, kata Nadiya, bukan mudah untuk mendapatkan pelanggan malah untuk mendapat hasil jualan sebanyak RM50 pun agak payah lantas dia memutuskan untuk menimba ilmu pemasaran dan cara menam­bat hati pelanggan melalui kursus perniagaan tentang cara berniaga dan mendapat ejen pemasar atau dropship.

Kata Nadiya, kini butik Sarrahdhyya yang dikendali tiga kakitangan mempunyai 1,200 ahli dan 600 ejen dropship namun dia bercadang untuk membuka cawangan di Johor Baharu, Kuantan, Kuala Terengganu dan Kota Bharu pada tahun depan.

Kata gadis ini, nama Sarrahdhyya itu merupakan gabungan namanya dan adik, Nurul Maisarah manakala abangnya, Muhammad Syazwan, 31, bertindak sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat berkenaan.

Kegigihan Nadiya dalam bidang perniagaan turut diintai oleh UKM yang telah menjemputnya pada tahun lalu untuk memberi taklimat usahawan kepada penuntut pasca siswazah berhubung cara menjana pendapatan selain menjadi penaja Anugerah Keluarga Mithali 2017 anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) di Hotel Marriot Putrajaya pada Februari lalu.

Aksesori eksklusif Sarrahdhyya turut diminati penyanyi lagu Janji Manismu, Aishah yang memperagakan aksesori berkenaan ketika menyertai pertandingan Gegar Vaganza pada tahun lalu.

Melalui prinsip PHD iaitu `Persistent’ (ketabahan dan istiqamah), Hardworking (Bekerja Keras) dan `Diligent’ (Teliti), Nadiya menasihatkan mereka yang ingin menceburi bidang perniagaan agar fokus dan tidak mudah putus asa selain mempunyai keyakinan tinggi bahawa punca rezeki sebahagian besarnya adalah daripada perniagaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN