Kebanyakan kanak-kanak di bawah usia tujuh tahun telah mengikuti kelas tadika sebagai persediaan awal sebelum menempuh alam persekolahan, tetapi perkara itu jarang berlaku di kawasan pedalaman.
Di kawasan berkenaan, nasib kanak-kanak dalam pembelajaran agak terabai disebabkan kemiskinan. Ia bukan perkara baru dalam masyarakat yang menetap di kawasan sebegini.
Sungguhpun begitu, setiap permasalahan ada jawapannya. Itu yang dititikberatkan oleh sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Yayasan Amal Malaysia dalam inisiatifnya menggerakkan aktiviti kemanusiaan, kebajikan dan pendidikan di negara ini.
Projek tadika amal yang dilaksanakan memberi sinar baharu buat kanak-kanak yang memerlukan pendidikan awal bagi membolehkan mereka menyesuaikan diri dengan persekitaran persekolahan tahun satu kelak.
Projek Tadika Amal Hidayah yang dijalankan di beberapa buah kampung sekitar Sabah ternyata menggembirakan kanak-kanak yang memerlukan pendedahan pendidikan awal.
Menurut Penolong Setiausaha Yayasan Amal Malaysia merangkap Timbalan Pengarah Projek Tadika Amal Hidayah, Hafizul Husni Alias, objektif utama program itu adalah untuk menyediakan pendidikan awal kepada kanak-kanak di kawasan pedalaman.
“Ini secara tidak langsung dapat menghidupkan budaya ilmu dalam kalangan kanak-kanak di situ.
“Selain sesi pembelajaran seperti di pusat asuhan kanak-kanak biasa, terdapat juga pengisian program bagi menarik minat kanak-kanak untuk mengambil bahagian.
“Antaranya sukan tahunan, hari kecemerlangan untuk menggilap bakat kanak-kanak seperti berpidato, bersyair, bercerita dan berpantun,” katanya kepada Mega Rona.
Menurutnya, hampir 78 murid khususnya mualaf dan anak-anak miskin sukar menikmati pendidikan awal kerana beberapa faktor antaranya lokasi dan kemiskinan yang membelenggu penduduk.
Katanya, lokasi yang dipilih adalah kampung yang tidak mempunyai sekolah dan setakat ini sebanyak tiga buah Tadika Amal Hidayah dibuka di Kampung Salagan, Pulau Banggi, Kampung Mengkapon di Pitas dan Kampung Batu Lunduyan.
“Pada tahun ini kami akan membuka tiga buah tadika baharu di Kampung Mansiat, Kampung Binsulung dan Kampung Kabatang,” katanya.
Beliau bersyukur kerana semua projek tersebut mendapat respons yang baik daripada penduduk kampung.
“Memandangkan sebelum ini tiada tadika di kampung-kampung terbabit, maka kewujudan tadika ini begitu menggembirakan kanak-kanak,” katanya sambil memberitahu penduduk kampung turut membenarkan mereka mengubahsuai surau bagi dijadikan tempat untuk menambah ilmu.
“Tapak tadika ini dibina di tapak surau milik Yayasan Amal Malaysia. Apa yang menyentuh hati kami ialah melihat kesungguhan ibu bapa yang sanggup menghantar anak-anak ke tadika ini walaupun terpaksa berjalan kaki selama kira-kira 30 minit,” ujarnya.
Mengulas tentang tenaga pengajar yang berkhidmat dalam projek ini, katanya, mereka ialah anak-anak kelahiran Sabah dan Sarawak yang dilatih di Pusat Dakwah Serantau, Sungai Merab, Kajang.
“Rata-rata tenaga pengajar berusia antara 18 hingga 22 tahun. Kami memberikan latihan percuma selama tiga tahun kepada mereka.
“Kemudian mereka akan pulang ke kampung masing-masing untuk berkhidmat kepada masyarakat seperti menjadi imam, guru tadika atau pendakwah.
“Jumlah tenaga pengajar setakat ini ialah 10 orang,” katanya yang turut memberitahu ada di antara pengajar bekerja sampingan seperti bercucuk tanam dan berniaga untuk menyara hidup.
Menurutnya, selain bantuan kewangan, pihaknya turut memerlukan barangan persekolahan seperti pakaian sekolah, alat tulis dan buku selain kerusi dan meja untuk kegunaan tadika.
“Bantuan lain yang diperlukan adalah makanan. Anggaran kos bagi seorang murid adalah RM2 termasuk sarapan dan makan tengah hari.
“Menu sarapan yang mampu kami sediakan adalah berasaskan ubi kayu dan pisang manakala nasi goreng atau bihun goreng untuk makan tengah hari.
“Makanan seperti ini sudah cukup membuatkan kanak-kanak berasa seronok menikmatinya memandangkan ada di antara ibu bapa mereka tidak bekerja dan hanya mengambil upah menebang pokok dengan upah sedikit sahaja,” tambahnya.
Hafizul berkata, projek mereka bermula daripada ‘zero’ dan sumbangan orang ramai diterima bagi membiayai kos pembelajaran kanak-kanak terlibat.
“Saya mohon lebih ramai anak-anak muda terlibat dalam projek ini. Pengalaman, tenaga dan kemahiran anak muda diperlukan bagi membantu kanak-kanak di kawasan pedalaman ini khususnya dalam sektor pendidikan,” katanya mengakhiri perbualan.










