SESI persekolahan 2019 telah bermula sejak 2 Januari lalu. Anak-anak, ibu bapa dan guru-guru kembali dengan rutin harian. Antaranya menyediakan rancangan pembelajaran dan pengajaran serta menyelia tugasan-tugasan yang diberikan kepada anak-anak. Malah salah satu aspek yang mencabar adalah melibatkan kestabilan sosioemosi anak-anak semasa di sekolah.
Kementerian Kesihatan dalam laman Facebook rasminya menyenaraikan tujuh sebab utama kanak-kanak tidak mahu ke sekolah iaitu kerisauan atau kebimbangan terhadap perpisahan, kerisauan terhadap pencapaian diri, kerisauan terhadap komuniti sosial, kerisauan umum, masalah kesihatan, buli serta tekanan perasaan.
Berdasarkan Kajian Morbiditi Kesihatan Kebangsaan 2015, sebanyak 15.7 peratus kanak-kanak di Malaysia mengalami masalah emosi (risau, takut, gelisah, sedih, tidak gembira, mengadu sakit kepala).
Namun, tidak dapat dipastikan berapakah jumlah kanak-kanak daripada 15.7 peratus ini yang mengalami masalah gangguan kerisauan perpisahan.
Berdasarkan statistik di Amerika Syarikat (AS), lebih kurang empat peratus hingga lima peratus kanak-kanak yang berusia tujuh hingga 11 tahun mengalami masalah gangguan kerisauan perpisahan.
Faktor
Kerisauan atau kebimbangan perpisahan kerap berlaku selepas terjadinya kejadian yang dianggap traumatik dan memberi kesan mendalam dalam kehidupan kanak-kanak. Pada kebiasaannya, kejadian traumatik ini turut melibatkan perpisahan.
Contohnya, kematian seseorang atau haiwan yang disayangi, perceraian ibu bapa, sakit dan terpaksa ditahan di hospital, perubahan persekitaran seperti berpindah rumah atau sekolah yang lain.
Selain itu, ibu bapa yang terlalu bersifat melindungi (over protective) mungkin lebih cenderung untuk mempunyai anak-anak yang mengalami gangguan tersebut.
Ironinya, ini mungkin bukan suatu penyakit kepada kanak-kanak terlibat tetapi merupakan manifestasi kerisauan atau kebimbangan perpisahan ibu bapa itu sendiri.
Dalam kata lain, kerisauan atau kebimbangan perpisahan yang di alami oleh ibu bapa menjadi pemangkin kepada kerisauan perpisahan anak-anak mereka.
Di samping itu, terdapat juga kes kanak-kanak yang mengalami gangguan tersebut mempunyai ahli keluarga yang turut mengalami gangguan sama mahupun gangguan mental lain. Ini menunjukkan bahawa keadaan ini boleh diwarisi.
CARA UNTUK MEMBANTU
Kebanyakan kes kerisauan perpisahan yang ringan tidak memerlukan rawatan perubatan. Sekiranya anda mempunyai kebimbangan mengenai kerisauan perpisahan anak anda, berbincanglah dengan pakar kanak-kanak, pakar psikiatri dan pakar psikologi klinikal.
Matlamat rawatan adalah untuk mengurangkan kebimbangan pada kanak-kanak, membangunkan rasa selamat dalam jiwa kanak-kanak dan penjaga serta mendidik anak serta keluarga atau penjaga tentang keperluan untuk perpisahan yang semula jadi.
Rawatan
1Psikoterapi: Psikoterapi (terapi bercakap) adalah pendekatan rawatan utama bagi mengatasi gangguan kebimbangan perpisahan. Tumpuan terapi adalah untuk membantu kanak-kanak agar dapat bertahan apabila berpisah dengan penjaga tanpa menyebabkan komplikasi lain yang mungkin menyebabkan kesusahan dan menggangu fungsi-fungsi kehidupan lain.
Satu jenis psikoterapi yang dikenali sebagai Terapi Kognitif Tingkah Laku (Cognitive Behavioural Therapy) berfungsi untuk membentuk semula pemikiran rasional anak-anak agar perasaan lebih tenang dan tingkah laku kanak-kanak lebih sesuai.
Di samping itu, terapi keluarga juga boleh digunakan agar ahli keluarga dapat bersama-sama belajar cara-cara untuk memberi sokongan yang lebih baik semasa tempoh kerisauan perpisahan itu berlaku.
2Ubat-ubatan: Pakar psikiatri mungkin akan menggunakan ubat-ubatan seperti anti depresi (antidepressant) dan antikebimbangan (anti-anxiety medications) dalam merawat kes-kes gangguan kebimbangan perpisahan yang kronik.










