MELAKA – Kerajaan negeri bakal menubuhkan Jabatan Pendidikan Islam Melaka selewat-lewatnya Mac depan bagi memberi tumpuan kepada pembangunan sektor tersebut secara lebih menyeluruh.
Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, jabatan itu akan dikendalikan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) bagi melancarkan sistem pendidikan yang sebelum ini diselia sepenuhnya oleh Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM).
Jelasnya, peranan jabatan itu termasuklah membuat penyeliaan dan penyelarasan sistem pendidikan Islam melibatkan sekolah agama Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), sekolah agama rakyat dan sekolah agama swasta termasuk pusat tahfiz di Melaka yang berdaftar di bawah JAIM.
“Seperti kita sedia maklum, JAIM mempunyai banyak tanggungjawab atau tugas yang perlu diuruskan termasuk menyelia pelbagai institusi Islam seperti masjid selain menguruskan pegawai syarak dan sebagainya.
“Justeru, penubuhan jabatan ini diharap dapat mengurangkan birokrasi ke arah pembangunan pendidikan Islam di negeri ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Program Hari Pertama Persekolahan Sesi 2019 di Sekolah Kebangsaan (SK) Datuk Demang Hussin, Bukit Katil, di sini, hari ini.
Tambah Adly, kertas kerja penubuhan jabatan itu akan diutamakan sebelum dapat dibentangkan dalam mesyuarat lembaga MAIM dalam masa terdekat.
“Kita jangka segala proses berkaitan penubuhan jabatan baharu itu akan dapat diselesaikan selewat-lewatnya Mac depan,” ujarnya. – K! ONLINE










