JOHOR BAHRU 16 Jan. – Dewan Muda Johor (DMJ) menggesa Menteri Besar, Datuk Osman Sapian mengemukakan bukti laporan latitud dan longitud yang menunjukkan beliau tidak melepasi sempadan perairan negara.
Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan, Undang-Undang, Intergriti dan Antarabangsa DMJ, Onn Mahathir Md. Nasir berkata, Osman perlu berbuat demikian dengan segera sekiranya benar beliau berasakan diri difitnah dan dianiaya kerajaan Singapura.
Menurutnya, dakwaan bahawa Wisma Putra tidak memberi restu terhadap ‘lawatan’ Menteri Besar Johor itu juga perlu segera dijelaskan secara diplomatik supaya hubungan kedua-dua buah negara tidak terjejas.
“Tiada faedah menjadi hero dengan memanjangkan polemik yang tidak memberi faedah, sebaliknya menumpukan usaha memajukan negeri, menjaga kebajikan rakyat, memberi fokus menunaikan manifesto dan menjaga kehormatan negeri adalah salah satu cara untuk dikenang sebagai hero rakyat,” katanya dalam satu kenyataan di sini sebentar tadi.
Walau bagaimanapun, katanya, jika benar dakwaan negara jiran itu, Menteri Besar perlu berjiwa besar dan mengakui kesilapan sekali gus mengemukakan permohonan maaf demi keharmonian rakyat dan kestabilan khususnya negeri Johor.
Onn Mahathir berkata, DMJ percaya rakyat Johor akan memberi sokongan jika Osman berada di pihak yang benar, tetapi tidak akan sesekali mempertahankan beliau jika memang benar datang daripada kesilapan dan kecuaian sendiri. – UTUSAN ONLINE










