Mayat remaja lemas di Pantai Kemayang ditemui terapung - Utusan Malaysia

Mayat remaja lemas di Pantai Kemayang ditemui terapung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BACHOK – Mayat seorang remaja lelaki ditemui dalam keadaan terapung di permukaan air selepas lebih enam jam lemas di Pantai Kemayang, di sini malam tadi.

Dalam kejadian pada pukul 6.15 petang, mangsa Muhammad Fakri Amin Mohamad Asri, 13, dipercayai dihanyut ombak besar selepas terjatuh dari atas batu benteng pemecah ombak di pantai itu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bachok, Penolong Penguasa Bomba Yus Heary Mahmud berkata, mayat mangsa ditemui kira-kira 30 meter dari tempat kejadian pada pukul 12 tengah malam.

“Operasi mencari dan menyelamat yang dihentikan sementara pada pukul 7 malam disambung semula sejam kemudian dengan kaedah pencarian dipermukaan air dan pemantauan pesisir pantai.

“Mayat mangsa ditemui dalam jarak yang tidak jauh dari lokasi kejadian dalam tempoh tidak sampai 24 jam,” katanya ketika dihubungi di sini sebentar tadi.

Pasukan Penyelamat Dalam Air (PPDA) Kota Bharu, Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Pasir Tumbuh, PBS Wakaf Bharu ,PBS Pengkalan Chepa, Polis Bachok, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia terlibat dalam operasi berkenaan.

Dalam kejadian pada petang semalam, kakak mangsa, Noor Atikah dan seorang rakannya yang berada di lokasi kejadian cuba menyelamatkan mangsa namun tidak berjaya kerana ombak besar.

Yus Heary berkata, mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut sebelum dituntut oleh keluarganya yang berasal dari Lundang, Kota Bharu.

Menurutnya, pengunjung pantai berkenaan dinasihatkan tidak berada di atas batu benteng pemecak ombak bagi mengelakkan risiko dan kemalangan di luar jangkaan.

“Pengunjung boleh terjatuh ke dalam laut sekiranya berada di atas batu yang licin dan berlumut. Malah, kejadian yang tidak terduga termasuk ombak besar yang turut menghempas ke atas batu terutama sekitar kuala berkenaan,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN