KUALA LUMPUR 30 Jan. – Mayat seorang lelaki yang belum dikenal pasti identitinya ditemukan di tepi Sungai Klang berhampiran Lebuh Raya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH) menghala ke Ampang, di sini hari ini.
Dalam kejdian kira-kira pukul 12.06 tengah hari itu, mayat lelaki dianggarkan berusia 40-an ditemukan hanya memakai seluar boxer oleh orang awam sebelum memaklumkan kepada pihak polis.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner, Shaharuddin Abdullah berkata, hasil maklumat yang diterima, sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Dang Wangi dibantu Unit Forensik Kuala Lumpur telah tiba di lokasi.
Ujarnya, pihaknya turut mendapatkan bantuan dari pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Jalan Tun Razak untuk membawa mayat naik ke lebuh raya berkenaan.
“Siasatan awal mendapati, mangsa dipercayai maut sejak tiga atau lima hari lalu berdasarkan keadaan mayat yang hampir reput.
“Mayat telah dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk proses bedah siasat bagi mengetahui kecederaannya ” katanya di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE










