GOMBAK – Penemuan mayat seorang lelaki dalam keadaan tangan serta kaki berikat menggemparkan pengguna jalan raya di jalan utama Ulam Yam menghala ke Batu Caves di sini pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Samsor Maarof berkata, mayat tersebut telah ditemui oleh orang awam yang melalui kawasan tersebut sebelum mereka menghubungi pihak polis sekitar pukul 8.15 pagi tadi.
“Mayat lelaki dipercayai warga asing itu ditemui di tepi jalan utama Hulu Yam menghala ke Batu Caves dalam keadaan tangan dan kaki berikat serta kepalanya tertutup dengan baju.
“Tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui pada si mati dan dipercayai merupakan warga asing berikutan pemeriksaan pada badannya tidak menemui sebarang kesan suntikkan BCG,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Menurut Samsor, pemeriksaan fizikal luaran pada simati telah menemui beberapa kecederaan pada tubuh badannya.
“Dua batang jari di kaki kanan serta sebatang jari di kaki kiri mangsa telah dipotong dan terdapat kecederaan di bahagian muka malah terdapat kesan calar pada bahagian anggota badan.
“Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk dibedah siasat yang akan dilakukan esok dan kes kini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” ujar beliau.
Tambah Samsor, orang awam yang terlihat kejadian atau mempunyai sebarang maklumat diminta tampil ke mana-mana balai polis berhampiran untuk membantu siasatan. – K! ONLINE










