KUALA LUMPUR – Mayat seorang lelaki berada dalam keadaan hanya berseluar dalam ditemui di kawasan semak di tepi Sungai Klang di Kilometer 1.1 Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH) menghala Ampang di sini hari ini.
Mayat yang belum dikenal pasti identiti itu difahamkan dijumpai oleh kontraktor lebuhraya kira-kira pukul 11.30 pagi ketika sedang melakukan kerja penyelenggaraan lebuhraya sebelum memaklumkan penemuan itu kepada polis.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Shaharuddin Abdullah berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kira-kira pukul 12.06 tengah hari dari seorang lelaki mengenai penemuan tersebut.
“Sebaik tiba di lokasi, pihak polis mendapati mayat seorang lelaki dewasa yang tidak berbaju dan hanya memakai seluar dalam jenis ‘boxer’ sahaja. Namun begitu, masih tidak dapat dipastikan anggaran umur atau bangsa mayat tersebut.
“Berdasarkan siasatan oleh Unit Pathologi Hospital Kuala Lumpur, mayat tersebut dianggarkan sudah meninggal dunia tiga hingga lima hari berdasarkan keadaan proses pereputan pada mayat,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambah Shaharuddin, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat. – K! ONLINE











