Mayat dengan tangan kaki terikat ditemukan tanpa identiti - Utusan Malaysia

Mayat dengan tangan kaki terikat ditemukan tanpa identiti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 13 Jan. – Mayat seorang lelaki yang belum dikenal pasti identitinya ditemukan di dalam longkang dengan keadaan tangan dan kaki terikat serta kepalanya ditutupi baju di jalan utama Ulu Yam menghala ke Batu Caves hari ini.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Samsor Maarof berkata, mayat itu ditemukan orang awam yang menggunakan jalan tersebut pada pukul 8.15 pagi lalu membuat laporan polis.

“Pemeriksaan yang dilakukan Pasukan Forensik dari Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor mendapati tidak terdapat dokumen pengenalan diri ditemukan pada mangsa.

“Polis juga menemukan beberapa kesan kecederaan pada mangsa iaitu dua jari kaki kanan dan satu jari kaki kiri telah dipotong. Selain itu kecederaan lain pada bahagian muka dan kesan calar pada bahagian anggota badan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Samsor memberitahu, mangsa dipercayai seorang warga asing berdasarkan pemeriksaan badan didapati tiada kesan suntukan BCG dan jenis pakaian yang dipakai.

“Mayat itu telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat esok” ujarnya.

Tambah Samsor, kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Kepada sesiapa yang mempunyai maklumat berhubung kejadian ini di minta untuk menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN