PARIS 12 Jan. – Hasrat seorang lelaki berusia 65 tahun untuk bermain ski bersama rakannya tidak kesampaian selepas dia terjatuh dari lif luncur salji yang dinaiki ketika berada pada ketinggian 9.75 meter sebelum disahkan meninggal dunia, semalam.
Dalam kejadian di Pergunungan Alps itu, mangsa yang tidak didedahkan namanya dan berasal dari Britain tersebut dipercayai diserang sakit jantung sebelum terjatuh daripada kerusi pengangkutan tersebut.
Daily Mirror melaporkan, pihak polis kini sedang menyiasat sama ada pemain ski berkenaan mengalami serangan jantung sebelum terjatuh daripada lif luncur salji itu.
Perkhidmatan kecemasan menerima panggilan pada pukul 12.20 tengah malam sebelum bergegas ke hentian lif ski, Roc de Tougne bersama enam anggota sebelum ketibaan dua orang doktor.
Namun selepas lebih setengah jam cubaan mereka menyelamatkan lelaki itu, mangsa kemudiannya disahkan telah meninggal dunia.
Siasatan kes dikendalikan pendakwa raya di Albertville bagi mengenal pasti punca kematian serta kronologi kejadian.
Mangsa dilaporkan datang bermain ski bersama seorang wanita yang duduk di sebelahnya ketika kejadian.
Lif yang mempunyai enam tempat duduk itu dibina syarikat Perancis, Pomagalski pada 2017 dan boleh membawa kira-kira 2,400 penumpang sejam. – AGENSI








