RANONG 15 Jan. – Masjid turut berperanan sebagai pusat kebajikan, gedung ilmu dan pusat hubungan dengan Allah serta manusia sesama manusia.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, apabila masjid dapat melaksanakan fungsi dan peranan yang sepatutnya, ia akan menggambarkan kesempurnaan dan keindahan Islam sebagai ‘al-Deen’ dan salah satu cara dakwah ‘bilhal’ iaitu dakwah dengan teladan yang pastinya memberi impak kepada umat Islam dan menarik minat bukan Islam melalui fungsi-fungsi komprehensif yang dijana oleh institusi masjid.
Demikian titah baginda ketika berkenan berangkat menghadiri ‘Program Ramah Mesra Bersama Imam-Imam dan Pemimpin Agama Islam Wilayah Ranong’ yang diadakan di Masjid Al-Farisin, Kampung Tachang, Ranong, Thailand baru-baru ini.
Berangkat sama Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Keberangkatan tiba baginda berdua disambut oleh Imam Masjid, Rachip Matli dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor.
Turut hadir ialah Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan Ahli Majlis, Datuk Dr Juanda Jaya.
Baginda turut menambah bahawa pentadbir masjid perlu sentiasa kreatif dan proaktif dalam menggerakkan program ‘imarah’, bukan sahaja berbentuk keagamaan semata-mata bahkan segenap aspek kehidupan meliputi ekonomi, keusahawanan, pendidikan, kesihatan, aktiviti sosial, kemasyarakatan dan sebagainya.
Bersempena kunjungan ‘Ziarah Mahabbah Tahunan MAIPs ke Wilayah Andaman’ tersebut, baginda berdua turut berkenan melancarkan ‘Promosi Masakan Perlis’ berupa ‘Bubur Perlis’ yang disediakan oleh Restoran Shamiza Kg. Gial Perlis dan diagihkan kepada lebih 500 yang hadir.
Terdahulu baginda dan delegasi diraikan oleh Gabenor Wilayah Ranong, TYT Chatupot Piyamputra dan isteri dalam satu majlis santapan tengahari di Numsai Khaosuay Resort.
Pada petang yang sama juga beberapa ahli delegasi yang mengiringi baginda mengadakan kunjungan ke pejabat Majlis Agama Islam Ranong dan juga Ma’had Tahfiz Ta’limuddin di sana. – UTUSAN ONLINE









