Masih belum terima laporan kerajaan negeri dan pejabat mufti Pulau Pinang - Utusan Malaysia

Masih belum terima laporan kerajaan negeri dan pejabat mufti Pulau Pinang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA 15 Jan. – Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof Rawa masih menunggu laporan daripada kerajaan negeri dan pejabat mufti Pulau Pinang mengenai bangunan perumahan di Jelutong yang didakwa memaparkan lambang salib.

Beliau berkata, penjelasan daripada kedua-dua pihak itu adalah perlu bagi meredakan kebimbangkan orang ramai berikutan melibatkan sensitiviti agama dan kepercayaan masyarakat di negara ini.

“Kita perlu lihat kepada isunya, adakah sengaja dibuat untuk menimbulkan keresahan orang ramai atau tidak, apakah dibuat secara bermotif untuk menimbulkan kebencian, sensitiviti atau sekadar strukturnya memang begitu rupa.

“Saya masih menunggu laporan dari Pulau Pinang dan difahamkan, kalau pasang lampu bukan tanda salib, tetapi perkataan dalam bahasa Mandarin yang bermaksud ‘ong’,” katanya, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kes tular di media sosial baru-baru ini mengenai projek bangunan perumahan di Jelutong, Pulau Pinang yang didakwa memaparkan lambang salib.

Baru-baru ini Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor turut meminta pihak berkuasa agar segera mengarahkan pihak pemaju projek berkenaan untuk mengubah kedudukan lampu-lampu di bangunan itu supaya tidak kelihatan seperti lambang salib.

Malah dalam masa sama, Ketua Menteri, Chow Kon Yew juga difahamkan projek bangunan apartmen itu masih belum siap sepenuhnya dan pemaju masih dalam proses untuk menguji lampu di bangunan tersebut.

Dalam pada itu Mujahid mengingatkan semua pihak termasuk kontraktor dan pemaju perumahan untuk meneliti pelan bangunan agar tidak menimbulkan pandangan negatif kepada masyarakat seterusnya boleh digunakan untuk menimbulkan kebencian dan kerapuhan hubungan antara agama di negara ini. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×