Maritim Malaysia tahan 4 warga Myanmar rawai ikan di Langkawi - Utusan Malaysia

Maritim Malaysia tahan 4 warga Myanmar rawai ikan di Langkawi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAWI 22 Jan. – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kedah dan Perlis menahan sebuah bot gentian kaca tanpa nombor pendaftaran bersama empat orang awak-awak warga asing kerana menangkap ikan tanpa permit berhampiran Pulau Rebak, di sini semalam.

Semasa ditahan pukul 6.30 petang, kesemua warga Myanmar berusia 28 hingga 43 tahun itu berada kira-kira 14 kilometer barat Pulau Rebak.

Pengarah Maritim Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Rozali Mohd. Said berkata, Pusat Operasi Maritim (Langkawi) telah menerima aduan dari komuniti maritim yang memaklumkan terdapat bot nelayan tempatan yang menggunakan pekerja warga asing sedang menangkap ikan dengan cara merawai.

“Setelah pemeriksaan dilakukan, didapati kesemua awak-awak itu memiliki kad Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) dan tidak memiliki permit kerja.

“Mereka juga gagal menunjukkan sebarang dokumen bot gentian kaca tersebut dan oleh itu disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen dan akta-akta berkaitan.

“Bot gentian kaca bersama set alatan menangkap ikan jenis rawai dengan anggaran 500 bilah mata rawai dan awak-awak itu ditahan dan dibawa ke Jeti Maritim Malaysia Bukit Malut untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Rozali seterusnya memohon orang ramai terutamanya komuniti nelayan untuk segera melaporkan sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang di perairan negara ini dengan menghubungi talian MERS 999 dan Pusat Operasi Maritim Negeri Kedah dan Perlis (Langkawi) iaitu 04-9662750. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN