KUALA LUMPUR 15 Jan. – Janji untuk memansuhkan undang-undang yang disifatkan drakonian mudah dilafazkan ketika menjadi pembangkang tetapi setelah mendapat kuasa, kerajaan akan fikir 10 kali.
Ini kerana, menurut bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahim Noor, pemansuhan undang-undang tersebut bakal merisikokan ketenteraman negara.
Kata beliau, hanya pihak yang bermentaliti pembangkang akan menolak undang-undang tersebut sebaliknya jika seseorang itu mencintai keamanan kewujudan undang-undang itu akan disokong.
“Bergantung dengan sikap anda. Jika anda bersikap pembangkang, anda akan hentam, tapi kalau anda suka negara ini aman, anda akan sokong,” katanya ketika ditemui pemberita selepas sidang akhbar di Kelab Sultan Sulaiman, di sini hari ini.
Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengesahkan kementeriannya masih mengkaji dan mengadakan perbincangan lanjut dengan Jabatan Peguam Negara untuk memperhalusi cadangan pindaan atau pemansuhan enam undang-undang tersebut.
Enam undang-undang tersebut termasuklah Akta Hasutan 1948, Akta Pencegahan Jenayah 1959, Akta Pencegahan Keganasan 2015, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) dan Akta Perhimpunan Aman 2012.
Kata Abdul Rahim lagi, sebagai pembangkang, sesebuah parti politik akan berusaha mengumpulkan segala alasan untuk menjatuhkan kerajaan, termasuklah mempersoalkan undang-undang.
“Sekarang (Pakatan Harapan) sudah berkuasa, tapi tiada apa yang berlaku. Dia fikir dua kalilah. Mungkin empat kali, 10 kali.
“Dia tak berani sekarang kerana mereka berkuasa. Mereka akan minta pendapat Peguam Negara, bahagian tentera, polis, perisik. Mereka akan tanya, penghapusan undang-undang ini apa akan jadi kepada ketenteraman negara?” katanya. – UTUSAN ONLINE











