Manogaran tidak setuju kenyataan Bob Manolan - Utusan Malaysia

Manogaran tidak setuju kenyataan Bob Manolan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LIPIS 13 Jan. – Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands, M. Manogaran menyifatkan kenyataan bersifat ‘mengugut’ Orang Asli yang didakwa dibuat Senator Dewan Negara, Bob Manolan Mohamad sebagai tidak wajar.

Menurutnya,  beliau tidak pernah bersetuju dengan kenyataan tersebut.

Beliau berkata, jika benar kenyataan itu dibuat Bob Manolan,  ia bukan kenyatan daripada PH tetapi merupakan kenyataan peribadi  Senator dari PKR itu.

“Saya tengok kerajaan PH ada bayar elaun kepada wakil rakyat BN walaupun semasa saya menjadi wakil rakyat PH di Teluk Intan, Perak pada 2008 saya tidak dapat elaun daripada BN.

“Saya rasa kita juga tidak pilih kasih kepada masyarakat Orang Asli yang menerima elaun tetapi sokong UMNO, sama seperti penjawat awam menerima gaji dari kerajaan, dia boleh sokong UMNO apa salahnya,”katanya.

Beliau ditemui pada Ceramah Umum dan Majlis Memperkenalkan Calon PH di Bilik Gerakan PH FELDA Sungai Koyan 3, di sini malam semalam.

Yang hadir sama, Penyelaras Jentera PH Dewan Undangan Negeri (DUN) Jelai, Young Syefura Othman.

Ahli Dewan Negara, Senator Bob Manolan Mohamad mencetuskan kontroversi apabila dilaporkan memberi amaran kepada Tok Batin supaya menyokong calon Pakatan Harapan (PH) dalam  Parlimen Cameron Highlands 26 Januari ini atau berdepan risiko kehilangan jawatan.

Jelas Bob Manolan seperti dipetik portal Malaysiakini, pemimpin masyarakat Orang Asli dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) perlu menyokong agenda kerajaan kerana PH hanya mahukan ketua-ketua kampung yang boleh memberikan kerjasama demi kebaikan Orang Asli.

Namun begitu, Bob Manolan selepas itu tampil membela diri dengan menafikan membuat kenyataan sedemikian sebaliknya menuding jari menyalahkan laporan Malaysiakini berkenaan perkara itu. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN