IPOH: Kerajaan Perak merancang untuk melaksanakan program cucu angkat atau ‘adopt a Tok Perak’ bagi menguruskan isu jumlah warga emas yang tinggi di negeri ini.
Pengerusi Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Salbiah Mohamed berkata, pendekatan menerusi program itu diharap mampu meningkatkan hubungan antara generasi serta memastikan warga emas kekal aktif.
“Warga emas boleh berperanan sebagai mentor, sumber ilmu, pemelihara warisan dan pembimbing generasi muda,” katanya semasa menjawab soalan V. Bavani (PH-Malim Nawar) dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di sini hari ini.
Menurut Salbiah, data tahun 2025 mencatatkan sebanyak 15.3 peratus daripada 2.6 juta penduduk Perak berumur 60 tahun dan ke atas iaitu tertinggi di Malaysia.
Tambahnya, pendekatan mesra warga emas turut merangkumi seseorang itu untuk terus hidup dengan selamat, sihat, berdikari, dihormati dan terlibat dalam masyarakat.
Katanya, Ipoh dan Taiping telah menyertai Rangkaian Global Bandar dan Komuniti Mesra Warga Emas Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sejak tahun 2019.
“Ipoh dan Taiping kini dijadikan model rintis sebelum disesuaikan dan diperluaskan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) lain,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan negeri sedang meneliti pendekatan pembiayaan meliputi pendidikan dan latihan teknikal vokasional (TVET), pembangunan pangkalan data penjaga, sokongan kepada pusat jagaan harian bertauliah, perkhidmatan penjagaan di rumah serta bantuan pematuhan pendaftaran pihak berkuasa. – UTUSAN










