Graduan TVET perlu rebut peluang ekonomi baharu Pantai Timur

Graduan TVET perlu rebut peluang ekonomi baharu Pantai Timur

MOHD. Shahar Abdullah (tiga, kanan) berjalan keluar meninggalkan dewan selepas Majlis Konvokesyen Politeknik dan Kolej Komuniti Zon Timur 2026 ( Sidang 7) di Dewan Sultan Mizan, Universiti Malaysia Terengganu ( UMT), Kuala Nerus, Terengganu. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di Pantai Timur perlu mempersiap diri dengan kemahiran berimpak tinggi bagi merebut peluang ekonomi baharu yang semakin berkembang di  wilayah berkenaan.

Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Seri Mohd. Shahar Abdullah berkata, perubahan ekonomi yang sedang berlaku di Pantai Timur urut mengubah keperluan industri, peluang pekerjaan dan kemahiran yang diperlukan majikan.

Katanya, perkembangan ekonomi tiga negeri di Pantai Timur menunjukkan potensi besar yang perlu dimanfaatkan khususnya oleh anak tempatan.

“Pada 2025, ekonomi Pahang berkembang sebanyak 3.2 peratus dengan nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sekitar RM71 bilion.

“Pahang juga merekodkan RM8.1 bilion pelaburan swasta yang diluluskan termasuk RM5.3 bilion pelaburan asing,” katanya ketika berucap pada Majlis Konvokesyen Politeknik dan Kolej Komuniti Zon Timur 2026 ( Sidang 7) di Dewan Sultan Mizan, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), di sini, hari ini.

Majlis yang berlangsung dalam sembilan sidang melibatkan keseluruhan graduan 5,715 iaitu 2,882 graduan dari Pahang, 1,497 dari Kelantan dan 1,336 dari Terengganu sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian mereka sepanjang pengajian.

Beliau berkata, Kelantan pula merekodkan pertumbuhan KDNK sebanyak 4.1 peratus dengan nilai lebih RM29 bilion pada tahun sama manakala Terengganu berkembang 1.6 peratus dengan nilai KDNK melebihi RM40 bilion.

Katanya, perkembangan berkenaan memberi gambaran bahawa peluang pekerjaan dan industri di Pantai Timur sedang berubah seiring dengan pertumbuhan ekonomi serta kemasukan pelaburan baharu.

“Tidak lama lagi, kita akan mempunyai satu lagi projek mega, iaitu Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang menghubungkan Pantai Timur dengan Pantai Barat. Saya percaya ECRL menjadi antara pemangkin penting yang membuka lebih banyak ruang kepada perdagangan, pelaburan, industri dan mobiliti tenaga kerja di Pantai Timur,” katanya. UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×