KUALA LUMPUR 28 Jan. – Kontinjen negara tidak akan memulaukan Kejohanan Renang Para Dunia 2019 biarpun hak Malaysia sebagai tuan rumah ditarik balik oleh Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC).
Pengarah Bahagian Paralimpik Majlis Sukan Negara (MSN), Mohd. Safrushahar Yusoff berkata, setakat ini perenang para belum menerima arahan untuk menghentikan latihan atau membatalkan penyertaan pada kejohanan yang sepatutnya berlangsung di Kuching dari 29 Julai hingga 4 Ogos.

“Kita masih meneruskan latihan seperti biasa. Tiada apa-apa sekatan dikenakan setakat ini.
“Mereka (atlet) juga giat menjalani latihan bagi melayakkan diri di Kejohanan Para Renang Dunia tidak kira di mana pertandingan akan diadakan selepas ini,” katanya kepada Utusan Malaysia, hari ini.
Menurut Safrushahar, setakat ini empat perenang para negara sudah melepasi syarat kelayakan minimum mengikut acara masing-masing.
Buat masa ini, IPC belum mengumumkan tuan rumah baharu selepas menarik balik penganjuran daripada Malaysia ekoran larangan yang dikenakan negara ini terhadap atlet Israel.
Kejohanan Renang Para Dunia 2019 penting dan menjadi tumpuan kerana ia adalah medan untuk memungut mata kelayakan ke Sukan Paralimpik 2020 di Tokyo.
“Pada akhirnya, hanya IPC yang akan menentukan perenang mana yang layak secara merit untuk bertanding dalam kejohanan itu.
“Mereka akan dinilai berdasarkan pencapaian semasa di beberapa kejohanan sebelum itu.
“Bagi tujuan itu, MSN telah menetapkan dua kejohanan di luar negara yang diiktiraf IPC kemungkinan pada Mac dan Jun ini untuk berusaha melayakkan diri dalam seberapa banyak acara,” ujarnya lagi.










