Makan boleh tangani stres? - Utusan Malaysia

Makan boleh tangani stres?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Benarkah jika anda mengalami stres atau tekanan perasaan, anda akan makan berlebihan? Atau anda pernah berhadapan dengan rakan sekerja yang memilih untuk makan ketika stres di saat perlu menyiapkan kerja dalam kadar segera. Oleh kerana kekangan masa mereka tidak sempat masak lantas memilih hidangan mudah atau membeli makanan ringan di mana-mana sahaja.

Amalan makan tanpa kawalan ketika stres adalah tidak sihat kerana akan menyumbang kepa­da beberapa penyakit yang serius seperti kegemukan, penyakit jantung dan kencing manis. Pun begitu, terdapat makanan tertentu yang boleh membantu anda mengurangkan stres.

Stres yang keterlaluan boleh mengurangkan tenaga, menghakis memori, melemahkan sistem imun, mengganggu ‘mood’, mengurangkan tumpuan dan memberi kesan kepada semua organ serta fungsi tubuh. Sementara itu melalui pengambilan diet seimbang, kesihatan yang baik dapat dikekalkan di sam­ping memastikan tahap mental dan fizi­kal sentiasa stabil. Pengambilan diet yang seimbang perlulah berdasarkan kepada piramid makanan.

Menurut Pakar Dietetik Hospital Pakar KPJ Tawakkal, Gan Yian Kee, semasa stres, seseorang itu cenderung untuk mengalami masalah emosi makan dan dia akan makan walaupun tidak lapar. Lebih malang lagi jika makan makanan yang tidak berkhasiat. Justeru, Yian Kee menggalakkan diet seimbang yang membekalkan nutrien dan tenaga diperlukan oleh badan bagi membantu menangani stres.

“Apabila stres, kita perlu mengelak makanan segera kerana makanan jenis ini mengandungi garam, lemak dan gula yang tinggi. Keinginan ini juga berkaitan dengan kehadiran hormon kortisol ketika tekanan berlaku. Hormon ini meningkatkan nafsu makan sehingga membuatkan individu makan berlebihan.

“Makanan segera yang diam­bil secara berlebihan pula boleh menyebabkan tompokan lemak semakin banyak sekali gus meng­akibatkan pembuluh darah tersumbat dan aliran darah tidak lancar. Akhirnya, fungsi jantung akan terganggu.

Sebaliknya, terdapat makanan tertentu yang boleh mengatasi stres anda,” katanya.

Tambah Yian Kee, antara makanan yang dapat membantu mengurangkan stres ialah kekacang seperti badam, pistasio dan walnut. Makanan ini mengandungi vitamin B2, E, magnesium dan zink. Vitamin B2 menggalakkan hormon serotonin (bahan kimia pencetus rasa gembira di dalam otak) yang memberikan rasa kegembiraan. Zink ialah antara komponen yang diperlukan untuk melawan stres manakala vitamin E berkesan dalam menghalang penyakit yang disebabkan oleh stres seperti penyakit jantung.

Selain itu, anda boleh mencuba ikan terutama dari laut dalam seperti ikan salmon, mackerel dan sardin kerana mengandungi sumber makanan tinggi dengan Omega 3 yang boleh membantu menstabilkan stres (hormon kortisol).

Bagi penggemar susu, anda boleh melawan stres dengan minuman ini kerana kaya dengan vitamin D dan kalsium yang boleh membantu menenangkan otot.

Dalam pada itu, keadaan stres yang berpan­jangan boleh menye­babkan kekurangan penyimpanan vitamin C dan masalah gusi berdarah. Oleh itu, anda boleh makan oren, labu merah dan jambu batu yang mengandungi vitamin C. Buah-buahan yang tinggi dengan vitamin C boleh menurunkan hormon kortisol dan mengurangkan stres.

Tidak ketinggalan, aprikot kering yang kaya dengan magnesium dan berkhasiat untuk membantu menenangkan otot dari dalam. Magnesium juga berfungsi membantu mengawal atur hormon stres.

Bagi menangani stres, anda juga digalakkan makan bijirin penuh seperti roti mil penuh, bijirin sarapan pagi, beras perang dan oat mengandungi karbohidrat kompleks yang bertindak untuk merangsang pengeluaran hormon serotonin.

Tambah Yian Kee, coklat gelap yang tinggi dengan antioksidan dapat membantu dalam mengurangkan penghasilan hormon kortisol. Ambil dalam kadar yang memadai supaya berat badan masih terkawal.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×