Mak nyah mati terjun daripada MPV - Utusan Malaysia

Mak nyah mati terjun daripada MPV

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG – Seorang lelaki dipercayai mak nyah mati selepas nekad terjun daripada sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) yang sedang bergerak akibat dituduh mencuri telefon bimbit bakal pelanggannya di tepi jalan di Bukit Tinggi di sini pagi semalam.

Mayat mangsa berusia 39 tahun dan berasal dari Sandakan, Sabah itu ditemui pukul 3.43 pagi oleh orang awam.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, bertindak daripada kejadian itu polis kemudiannya menahan seorang lelaki berusia 55 tahun di sekitar daerah ini.

Katanya, hasil siasatan awal mendapati kejadian dikatakan berlaku ketika mangsa dan suspek berada dalam MPV jenis Toyota Harrier.

“Semasa berada dalam MPV tersebut didapati berlaku pertengkaran dengan suspek memarahi mangsa kerana didakwa telah mencuri telefon bimbit miliknya.

“Sewaktu dalam pertengahan jalan, mangsa didakwa telah membuka pintu MPV berkenaan sebelum terjun daripada kenderaan tersebut. Dia meninggal dunia di lokasi kejadian dan suspek melarikan diri,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Kata beliau, hasil bedah siasat mendapati mangsa mati berikutan parah di kepala selain tiada pengelutan pada badan mangsa.

Shamsul menambah, semakan rekod juga mendapati mangsa mempunyai tiga rekod jenayah lampau berkaitan dadah.

“Berdasarkan siasatan juga mendapati suspek mendakwa tidak jadi melanggan mangsa susulan dakwaan mencuri telefon bimbitnya.

“Suspek kini direman selama tujuh hari dengan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Ini merupakan kes kedua membabitkan golongan tersebut selepas kejadian pertama pada 12 Disember lalu apabila seorang mak nyah mati dibelasah sekumpulan lelaki menggunakan senjata tumpul dengan ditemui terbaring di hadapan sebuah hotel di Bukit Tinggi. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN