PADANG BESAR 27 Jan. – Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) memperuntukkan sebanyak RM618,000 untuk 103 masjid di seluruh negeri ini untuk tujuan program agihan keperluan makanan kepada golongan asnaf di kariah masing-masing.
Bagi menjayakan inisiatif itu, setiap jawatan kuasa masjid dipertanggungjawabkan menjalankan aktiviti menjejaki asnaf iaitu turun ke lapangan untuk bertanya khabar mengenai anak kariah yang memerlukan bantuan dan secara terus menyampaikan sumbangan menggunakan peruntukan ini.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga merangkap Yang Dipertua MAIPs berkenan berangkat melancarkan pengumuman tersebut di Masjid Salahuddin Al Ayubi, di sini, semalam.
Program tersebut diadakan bersempena dengan Program Kayuhan MAIPs Peduli Menjejaki dan Menyantuni Asnaf kali ke-8 2019 yang melibatkan seramai 250 asnaf terpilih.
Mereka masing-masing menerima agihan zakat sebanyak RM600 daripada MAIPs.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor berkata, pendekatan baharu ini bertujuan untuk memantapkan lagi fungsi dan peranan masjid di seluruh negeri ini.
“MAIPs memperkenalkan program dakwah bil hal yang merupakan salah satu inisiatif untuk menyampaikan sumbangan makanan melalui jejak asnaf yang dilaksanakan di 103 kariah masjid seluruh negeri Perlis.
“Setiap masjid masing-masing akan disalurkan sebanyak RM6,000 untuk dimanfaatkan pada tahun 2019,” katanya.- UTUSAN ONLINE










